JOHOR BAHRU, 5 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor meminta DayOne, Permodalan Darul Ta'zim (PDT) dan Ranhill SAJ mengadakan perbincangan teknikal segera bagi meneliti potensi menyalurkan lebihan air terawat daripada loji rawatan air milik syarikat pusat data itu untuk kegunaan masyarakat.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata langkah itu dilihat boleh dilaksanakan, sekali gus membantu meningkatkan bekalan air terawat bagi memenuhi keperluan penduduk susulan perkembangan pesat ekonomi negeri.
Beliau berkata pusat data ini merawat air tercemar dari Sungai Tebrau yang mempunyai aliran air hingga 80 juta liter air sehari (MLD), namun hanya menggunakan hingga 10 MLD.
"Jadi saya nak minta supaya satu mesyuarat teknikal dibuat pada kadar segera untuk kita melihat, dan menterjemahkan bagaimana teknologi ini boleh digunakan bagi memastikan lebih banyak air dapat kita bekalkan kepada masyarakat dalam keadaan ekonomi Johor yang sedang membangun ini.
"Dari segi tenaga elektrik seperti yang dibentangkan, mereka bekerjasama dengan TNB dalam penggunaan tenaga boleh baharu, panel solar dan sebagainya bagi memastikan bekalan tenaga mencukupi untuk kegunaan AI (kecerdasan buatan) di sini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sumber Air Alternatif di DayOne Kempas Tech Park (KTP), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Muhammad Naqib Md Ghazali, serta Ketua Pegawai Eksekutif DayOne Jamie Khoo.
Onn Hafiz berkata loji berkenaan menggunakan sumber air mentah dari Sungai Tebrau yang tercemar untuk dirawat bagi memenuhi keperluan operasi pusat data, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada rangkaian bekalan air terawat sedia ada.
Beliau berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen DayOne yang berpangkalan di Singapura dalam membangunkan infrastruktur sendiri, serta mengurus sumber air secara lebih mampan tanpa memberikan tekanan tambahan kepada bekalan air terawat untuk kegunaan domestik.
Dalam perkembangan berkaitan, Onn Hafiz berkata DayOne telah merealisasikan pelaburan kira-kira RM25 bilion di Johor setakat September lepas, dengan jumlah keseluruhan dijangka mencecah RM28 bilion menjelang akhir tahun ini.
Pelaburan itu turut mewujudkan kira-kira 650 pekerjaan berkemahiran tinggi di negeri ini, termasuk 432 yang disandang anak Johor, dengan tawaran gaji minimum kira-kira RM4,000 sebulan.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri juga akan terus memastikan setiap pelaburan dalam sektor pusat data dan AI dinilai secara teliti menerusi jawatankuasa teknikal bagi melindungi kepentingan negeri serta rakyat.
Beliau berkata tiga anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bertanggungjawab terhadap portfolio pelaburan, air dan infrastruktur serta kerja raya terlibat dalam meneliti kemasukan syarikat berkenaan secara berkala.
DayOne turut memperuntukkan sumbangan RM3 juta bagi meningkatkan pendidikan dan pembangunan bakat di Johor, selain komited menyumbang jumlah yang sama setiap tahun.
Beliau berkata kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan pemain industri penting bagi memastikan pertumbuhan sektor digital disokong infrastruktur mampan, di samping memberikan manfaat ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
-- BERNAMA