KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Penambahbaikan ketara infrastruktur pengangkutan di Kuala Lumpur, khususnya menerusi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyumbang kepada pemilihan ibu negara dalam senarai "Best Places to Go in 2027" terbitan Frommer’s.
Ketua Pengarang Frommer’s Jason Cochran berkata projek mega rel yang menghubungkan Lembah Klang dengan pantai timur Semenanjung Malaysia, selain landskap bandar yang semakin berkembang pesat dan kepelbagaian budayanya, menjadikan ibu negara sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa yang mahu menikmati kehidupan bandar moden dan aktiviti meneroka alam semula jadi.
Mengulas mengenai laluan transit baharu itu, Cochran berkata perkhidmatan kereta api berkenaan memudahkan pengunjung untuk meneroka destinasi menarik di Semenanjung Malaysia.
"Laluan kereta api baharu itu bermula dari Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai KL, merentasi sejauh 400 batu sehingga ke pantai timur Semenanjung Tanah Melayu," katanya dalam video yang dikongsikan menerusi akaun Instagram Frommer’s.
Beliau berkata sebelum laluan itu beroperasi, perjalanan untuk meneroka pantai timur memerlukan pelancong menempuh perjalanan jauh yang mengambil masa lama dengan menaiki bas atau merancang perjalanan menggunakan beberapa laluan berbeza.
"Kini, anda boleh ke pantai timur Semenanjung dalam tempoh kira-kira empat jam. Sebagai perbandingan, tempoh itu hampir sama dengan masa yang diperlukan untuk menaiki bas ekspres dari KL ke Singapura.
"Maka, kini lebih banyak lokasi di rantau ini yang boleh diterokai, termasuk destinasi yang mungkin tidak pernah terlintas untuk anda kunjungi sebelum ini," katanya.
ECRL sepanjang 665 kilometer menghubungkan Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak di Kuala Lumpur dengan Kota Bharu, Kelantan, sekali gus memendekkan tempoh perjalanan kepada kira-kira empat jam.
Selain memacu kesalinghubungan pengangkutan, Cochran turut memuji identiti Kuala Lumpur yang dinamik sebagai sebuah metropolis terkemuka di Asia Tenggara, dengan mengetengahkan mercu tanda moden di samping warisan sejarahnya.
Beliau berkata bandar raya itu menempatkan bangunan pencakar langit kedua tertinggi di dunia, Merdeka 118, yang dibina selepas kemunculan Menara Berkembar PETRONAS yang ikonik.
"KL sendiri adalah sebuah bandar moden yang menarik di Asia Tenggara. Pelancong akan berasa selesa kerana bandar ini mempunyai kemudahan dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelancong,” katanya.
Frommer’s adalah antara buku panduan pelancongan dan media digital yang ikonik serta dipercayai di dunia, yang diasaskan oleh Arthur Frommer pada 1957.
Jenama itu merevolusikan industri pelancongan dengan menjadikan aktiviti melancong, yang sebelum ini dianggap mewah dan khusus untuk golongan kaya, namun kini ia lebih mudah diakses oleh orang ramai, termasuk mereka yang mempunyai bajet terhad.
Kini, Frommer’s beroperasi sebagai syarikat media pelancongan yang menawarkan buku panduan bercetak, peralatan digital dan podcast (audio siar).
-- BERNAMA
infrastruktur, pengangkutan, destinasi, pelancongan