Am 03/11/2026 12:02 AM

Tragedi Gerik: UMK Gerakkan Bantuan Kebajikan Untuk Keluarga Bakal Graduan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tragedi Gerik: UMK Gerakkan Bantuan Kebajikan Untuk Keluarga Bakal Graduan
Kredit : FB Universiti Malaysia Kelantan

KOTA BHARU, 2 Nov (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menggerakkan bantuan kebajikan dan sokongan psikologi kepada keluarga bakal graduannya, Husna Syakira Abd Halim yang kehilangan ibu bapa dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Timur-Barat, Gerik, Perak hari ini.

UMK dalam kenyataan menzahirkan ucapan takziah dan dukacita atas tragedi yang menimpa pelajar Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan itu.

Husna Syakira ialah penuntut program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perdagangan Pengedaran) dengan Kepujian, yang dijadualkan menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen UMK ke-16 esok.

Kenyataan itu memaklumkan UMK kini menunggu hasil siasatan lanjut polis dan Hospital Gerik bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, selain menyerahkan sepenuhnya urusan siasatan kepada pihak berkenaan.

Sejurus menerima berita berkenaan, universiti itu melalui Bahagian Kesejahteraan Mahasiswa, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni menggerakkan pasukan pegawai universiti, wakil Majlis Perwakilan Pelajar serta Pegawai Psikologi ke Hospital Gerik.

"Pasukan berkenaan bertujuan memberikan sokongan kebajikan, membantu urusan dokumentasi serta menyelaras keperluan keluarga mangsa.

"UMK turut menyediakan kemudahan van jenazah bagi menguruskan penghantaran pulang jenazah kedua-dua ibu bapa Husna Syakira ke kediaman rasmi keluarga," menurut UMK.

Kenyataan itu memaklumkan UMK akan terus memberikan kerjasama dan sokongan sewajarnya kepada keluarga berkenaan termasuk dalam urusan kebajikan serta keperluan lain bagi memastikan segala urusan dapat dilaksanakan dengan lancar.

UMK turut menyeru orang ramai supaya menghormati privasi keluarga mangsa dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan bagi menjaga sensitiviti mereka serta tidak menjejaskan proses siasatan pihak berkuasa.

"Seluruh warga UMK turut mendoakan agar roh kedua-dua ibu bapa Husna Syakira dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

"UMK turut memberi jaminan bahawa kebajikan dan kesejahteraan Husna Syakira akan terus diberikan perhatian sewajarnya bagi membantunya menghadapi dugaan berkenaan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerusi hantaran Facebook mengucapkan takziah kepada Husna Syakira dan keluarganya.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi dan UMK akan memberikan bantuan kepada keluarga pelajar berkenaan termasuk menguruskan pengebumian ibu bapa Husna Syakira.

Zambry turut menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang menimpa keluarga bakal graduan itu.

Pasangan suami isteri itu maut dalam insiden pada 1.40 tengah hari manakala anak lelaki mereka cedera parah selepas kereta dinaiki keluarga itu bertembung dengan sebuah bas persiaran di Lebuhraya Timur-Barat berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Banjaran Titiwangsa menghala ke Gerik.

-- BERNAMA