Am 31/10/2026 05:30 PM

MMM Perlu Teliti Mekanisme Galak Pengamal Media Jalani Pemeriksaan Kesihatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MMM Perlu Teliti Mekanisme Galak Pengamal Media Jalani Pemeriksaan Kesihatan
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (empat, kanan) bergambar bersama tetamu pada majlis pelancaran Program Saringan Kesihatan Wartawan Bersama Yayasan Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) menjelang Mesyuarat Agung Tahunan MMM 2026 di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi CVSKL Tan Sri Rashpal Singh Randhay (empat, kiri), Pengerusi ECM Libra Foundation Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan (tiga, kiri) dan Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM) Tan Sri Nallini Pathmanathan (kanan).

PETALING JAYA, 31 Okt (Bernama) -- Majlis Media Malaysia (MMM) perlu meneliti mekanisme untuk menggalakkan pengamal media menjalani pemeriksaan kesihatan ketika proses pemberian pas media.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata cadangan untuk melaksanakan inisiatif itu penting bagi memastikan seramai mungkin daripada 12,000 petugas dalam sektor media mendapat manfaat dan mengenal pasti masalah kesihatan di peringkat awal.

"Kita bukan ingin memaksa tetapi kita hendak menggalakkan... mungkin di pihak Jabatan Penerangan, sebelum kad perakuan media dikeluarkan secara tahunan, kita tanya sama ada sudah buat pemeriksaan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Saringan Kesihatan Wartawan Bersama Yayasan Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) menjelang Mesyuarat Agung Tahunan MMM 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Pengerusi Yayasan CVSKL Tan Sri Rashpal Singh, Pengerusi ECM Libra Foundation Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan dan Pengerusi MMM Tan Sri P. Nallini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Fahmi berkata cadangan inisiatif bagi pengamal media menjalani saringan kesihatan secara tahunan belum dijadikan syarat sebagai pemegang kad media namun perkara tersebut akan dibincangkan dengan MMM terlebih dahulu.

"Kita akan bincang dengan Majlis Media (dan) dengan semua syarikat media untuk lihat kesesuaian sebab kita sebenarnya tahu kalau inisiatif ini, sebagai contoh, melibatkan fasiliti di Lembah Klang, mungkin untuk kawan-kawan di Sabah dan Sarawak ataupun di kawasan luar Lembah Klang, mungkin ada sedikit kesukaran.

"Kita tidak memaksa tetapi kita ingin menggalakkan semua pasukan media membuat saringan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali... itu hasrat kita," katanya.

  Menyentuh mengenai program hari ini, beliau berkata inisiatif bernilai RM1 juta yang disumbangkan oleh Yayasan ECM Libra kepada Yayasan CVSKL itu bertujuan membantu meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan pencegahan khususnya bagi wartawan aktif dan bekas wartawan.

"Kita lihat isu melibatkan kesihatan bagi para wartawan antara isu yang penting sama ada untuk mengenal pasti masalah penyakit tidak berjangkit yang jika dikesan awal, kita boleh usahakan bantuan yang lebih awal dan bantu elakkan satu keadaan yang tidak diingini daripada berlaku," katanya.

 -- BERNAMA