Politik 30/10/2026 12:37 AM

PRN Melaka: PN Tangguh Umum Calon Bagi Satu Kerusi, Nafi Ketandusan Calon - Ahmad Samsuri

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Melaka: PN Tangguh Umum Calon Bagi Satu Kerusi, Nafi Ketandusan Calon - Ahmad Samsuri
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

MELAKA, 29 Okt (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) menangguhkan pengumuman nama calon bagi satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada parti itu atas persefahaman dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi PN Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata penangguhan pengumuman nama calon bagi DUN yang beliau enggan dedahkan itu adalah disebabkan beberapa perkara, namun bukan sebab parti itu ketandusan pemimpin berkelayakan.

Beliau berkata sebaliknya, gabungan itu memerlukan sedikit masa bagi membuat pertimbangan akhir sebelum keputusan dimuktamadkan.

"Kita ada satu lagi kerusi yang kita tak umumkan bukan kerana kita ketandusan calon...Ada perkara-perkara berbangkit yang perlu kita selesaikan, sebab itu kita tidak umumkan malam ini.

“Bila tiba masa penamaan calon nanti, kita akan selesaikan semua kerusi ini," katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman calon PN di Dewan Muallim Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, di sini malam ini.

Ditanya sama ada kelewatan itu berpunca daripada perebutan atau pertikaian agihan kerusi antara parti komponen, Ahmad Samsuri berkata perkara berkenaan tidak timbul.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri mengesahkan pemberian satu lagi kerusi kepada MCA di DUN Bandar Hilir telah dipersetujui secara bersama dalam muafakat gabungan berkenaan.

"Insya-Allah, kita masuk bertanding untuk menang. Itu perkara paling penting dan saya percaya jentera kita sedang bergerak ke arah itu. Dengan kerjasama dan muafakat ini, saya percaya kejayaan ini bukan igauan, tetapi berada dalam jangkauan kita," katanya.

DUN Melaka dibubarkan pada 23 Sept dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon pada 31 Okt dan pengundian awal 10 Nov.

-- BERNAMA