JOHOR BAHRU, 29 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan laporan yang mengaitkan Johor Corporation (JCorp) dengan kejadian kebakaran hutan di Indonesia sebagai tidak berasas.
Beliau berkata mana-mana pihak tidak seharusnya memutarbelitkan fakta, sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah institusi pelaburan milik kerajaan negeri itu terlibat dalam kejadian berkenaan.
Onn Hafiz berkata semua pihak berhak menuntut ketelusan dan akauntabiliti, namun perkara itu perlu berlandaskan fakta dan bukti yang sahih.
Beliau yang juga Pengerusi JCorp berkata kerajaan negeri akan terus mempertahankan integriti, kredibiliti dan reputasi negeri daripada sebarang tuduhan yang tidak berasas.
“Dakwaan mengaitkan JCorp dengan pemilikan atau pengendalian operasi semasa syarikat-syarikat berkenaan serta kejadian kebakaran tersebut adalah palsu dan mengelirukan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Onn Hafiz berkata JCorp menerusi kenyataan rasmi turut menjelaskan bahawa syarikat-syarikat dalam kumpulannya, tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia.
Beliau berkata Kulim (Malaysia) Berhad, melalui anak syarikatnya, telah melupuskan kepentingannya dalam lima syarikat perladangan di Indonesia pada 2007, serta keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam dua syarikat lain di negara itu pada 6 Julai 2023.
Semalam, JCorp menerusi kenyataan menafikan dakwaan bahawa pihaknya mempunyai kaitan dengan syarikat perladangan Indonesia yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah, susulan laporan diterbitkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Wahana Linkungan Hidup Indonesia (WALHI).
JCorp menjelaskan bahawa syarikat itu tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia.
Baru-baru ini, WALHI mendakwa 21 syarikat yang mempunyai kaitan dengan entiti perniagaan Malaysia, terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia antara Januari hingga September tahun ini.
Dakwaan itu terkandung dalam laporan bertajuk Actor Mapping Analysis: Who Are Behind the Fires? yang diterbitkan oleh Eksekutif Nasional organisasi berkenaan.
-- BERNAMA