Am 24/10/2026 12:20 AM

CIOB Malaysia Raikan Ulang Tahun Ke-50, Iktiraf Kecemerlangan Dalam Sektor Pembinaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
CIOB Malaysia Raikan Ulang Tahun Ke-50, Iktiraf Kecemerlangan Dalam Sektor Pembinaan
Loi Yew Hua. fb CIOB Malaysia

PETALING JAYA, 23 Okt (Bernama) -- Chartered Institute of Building (CIOB) Malaysia meraikan setengah abad usaha memajukan piawaian pembinaan di negara ini menerusi Majlis Makan Malam Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 dan Malam Anugerah Kecemerlangan 2026 di sini, malam ini.

Sambutan bermakna itu menghimpunkan pemimpin industri, badan profesional dan wakil kerajaan bagi meraikan 50 tahun kemajuan, sambil merangka hala tuju peralihan negara ke arah amalan pembinaan generasi akan datang.

Berucap pada majlis itu, Presiden CIOB Malaysia Loi Yew Hua berkata institut berkenaan komited dalam memastikan golongan profesional tempatan bersedia menghadapi landskap teknologi yang berubah dengan pantas.

"Pada hari ini, teknologi seperti kecerdasan buatan, kembar digital dan kaedah pembinaan moden mewujudkan peluang untuk industri ini.

"Sebagai sebuah institusi profesional, kami memainkan peranan penting dalam membantu ahli kami memahami perubahan ini, membangunkan kompetensi baharu dan mengaplikasikannya secara bertanggungjawab dalam pekerjaan mereka," katanya.

Majlis itu dihadiri oleh pihak berkepentingan utama dalam sektor berkenaan termasuk wakil daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang diketuai oleh Pengerusinya Datuk Yusuf Abd Wahab.

Mengimbau kembali sejarah panjang institut itu sejak penubuhannya, Law memberikan penghormatan kepada para perintis yang meletakkan asas pengurusan pembinaan di Malaysia.

"Pada 50 tahun lepas, pengasas kami memulakan sesuatu yang terus berkembang hasil usaha pelbagai generasi. Malam ini, kita berpeluang meraikan sesuatu yang mereka mulakan dan perkara yang telah dibantu oleh ramai pihak untuk dibangunkan," katanya.

Selain memperingati pencapaian 50 tahun (1976–2026) institusi berkenaan, majlis itu turut menampilkan Anugerah Kecemerlangan Pembinaan CIOB Malaysia 2026 bagi mengiktiraf prestasi cemerlang dalam kalangan kontraktor utama, ketua projek, pakar dan ahli akademik.

Pengarah Eksekutif YTL Corporation Datuk Yeoh Soo Keng bersyukur apabila menerima anugerah berprestij Woman of the Year Award pada majlis itu, menyifatkannya sebagai detik yang membanggakan bagi kepelbagaian jantina.

"Saya berasa amat berbesar hati menerima anugerah ini yang turut mencerminkan pemerkasaan wanita," katanya kepada Bernama, sambil mengimbas perjalanannya dalam bidang yang didominasi lelaki, meskipun pada awalnya beliau pernah diberi amaran bahawa kejuruteraan awam ialah bidang untuk golongan itu.

Yeoh turut menggalakkan generasi seterusnya, khususnya wanita muda untuk tidak sesekali menolak aspirasi mereka, sekali gus membuktikan bahawa mereka mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

-- BERNAMA