KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Beregu wanita negara Low Zi Yu-Genevie Lim melangkah ke final Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2026 selepas menewaskan pasangan China, Shi Si Chen-Xiang Yu Jin dalam straight set di Kaherah, Mesir, hari ini.
Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Kaherah, pasangan pilihan kedua itu hanya mengambil masa 32 minit untuk menundukkan beregu pilihan ke-15 berkenaan dengan keputusan 15-9, 15-11.
Kemenangan itu menyaksikan Zi Yu-Genevie mengekalkan rekod kemenangan ke atas pasangan China berkenaan buat kali kedua berturut-turut. Mereka sebelum ini turut menewaskan pasangan sama dalam acara individu pada Kejohanan Remaja Asia di Jepun, Julai lalu.
Zi Yu-Genevie yang membawa harapan Malaysia untuk meraih gelaran dalam kejohanan itu bakal menentang pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir antara pasangan Jepun, Nijika Kamata-Shizuku Kashio dengan beregu Korea Selatan, Choi Ye Da-Kim Min Chae dalam perebutan gelaran juara dunia remaja.
-- BERNAMA