Daripada Husnah Jusid
SAMARKAND (Uzbekistan), 22 Okt (Bernama) -- Negara-negara yang menyertai Sidang Kemuncak Global Mengenai Pelaburan Dalam Kesejahteraan Kanak-Kanak berikrar pada Khamis untuk mengutamakan dan meningkatkan perbelanjaan awam secara berperingkat bagi kesihatan, pendidikan serta perlindungan sosial kanak-kanak di bawah Deklarasi Samarkand yang baharu diluluskan.
Diterima pakai pada penutupan sidang kemuncak dua hari di sini, deklarasi itu turut komited untuk memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak, menangani keganasan serta ancaman dalam talian, dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan asas, terutamanya bagi kanak-kanak rentan.
Timbalan Pengarah Pertama Agensi Kebangsaan Perlindungan Sosial Uzbekistan Shakhnoza Mirziyoyeva mengumumkan kelulusan deklarasi berkenaan sambil menegaskan bahawa komuniti antarabangsa mesti menterjemahkan komitmen mereka kepada tindakan bermakna.
"Kanak-kanak mengharapkan tindakan nyata daripada kita, bukannya janji," katanya dalam ucapan penutupan di Pusat Kongres Laluan Sutera Samarkand.
Di bawah deklarasi itu, negara-negara peserta bersetuju untuk melindungi perkhidmatan asas bagi kanak-kanak semasa tempoh kekangan kewangan.
Mereka juga komited untuk menjadikan belanjawan negara lebih sensitif terhadap kanak-kanak menerusi ketelusan, kebertanggungjawaban yang lebih tinggi dan perbelanjaan awam yang lebih berkesan, terutamanya dalam pembangunan awal kanak-kanak.
Deklarasi itu menggesa sistem perlindungan sosial yang lebih kukuh, termasuk perluasan faedah kanak-kanak dan keluarga, peningkatan liputan insurans sosial serta sokongan yang lebih besar kepada ibu bapa dan penjaga.
Ia memberi penekanan khusus kepada perlindungan kanak-kanak daripada keganasan, penderaan, pengabaian dan eksploitasi, termasuk eksploitasi seksual dalam talian, buli siber serta ancaman digital yang lain.
Negara-negara berkenaan seterusnya berikrar untuk memastikan keselamatan kanak-kanak dalam persekitaran digital di samping melindungi hak mereka terhadap privasi, kebebasan bersuara dan akses kepada maklumat.
Dalam bidang penjagaan kesihatan, deklarasi itu menggesa sistem yang lebih saksama dan berdaya tahan, peningkatan akses kepada ubat-ubatan asas dan diagnostik, serta kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh untuk membasmi kanser kanak-kanak.
Ia turut menekankan keperluan untuk meluaskan pengesanan awal, diagnosis, rawatan, pemulihan dan penjagaan paliatif bagi kanak-kanak yang menghidap kanser dan penyakit serius yang lain.
Mirziyoyeva berkata sidang kemuncak itu telah menghimpunkan pemimpin dan pakar antarabangsa untuk bertukar pengalaman, memperkukuh perkongsian dan mengenal pasti penyelesaian praktikal bagi menambah baik kehidupan kanak-kanak.
"Kanak-kanak mahu merasakan kasih sayang dan perhatian, bukan esok, tetapi hari ini," katanya.
Beliau berkata walaupun sidang kemuncak itu telah berakhir, usaha untuk memastikan masa depan yang lebih baik bagi setiap kanak-kanak baru sahaja bermula.
Sidang kemuncak berkenaan, yang berlangsung dari 21 hingga 22 Okt, dianjurkan oleh Uzbekistan bersama Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Keganasan Terhadap Kanak-Kanak, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia.
– BERNAMA