KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) tahun depan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan kurikulum baharu dan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, dengan peruntukan Belanjawan 2027 menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan.
Menterinya Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata cabaran utama kementerian adalah memastikan perancangan dan inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan murid dan warga pendidik.
“Peruntukan ini membolehkan kita melaksanakan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, dengan fokus utama pada tahun hadapan ialah pelaksanaan kurikulum baharu.
“Belanjawan ini nyata memberi penekanan kepada kualiti pendidikan, terutamanya bagi menjayakan Rancangan Pendidikan Malaysia dan kurikulum baharu tersebut, insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Belanjawan 2027: Memperkukuh Pendidikan, Melakar Masa Depan” di Wisma Bernama hari ini.
Fadhlina berkata Belanjawan 2027 turut memberi perhatian kepada usaha meringankan kos persekolahan keluarga menerusi pelbagai bantuan dan elaun, termasuk elaun tingkatan enam, Bantuan Awal Persekolahan (BAP), elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) serta insentif kepada guru pendidikan khas.
Beliau berkata aspek pembangunan seperti pembinaan sekolah baharu, menaik taraf sekolah daif serta kemudahan sukan sekolah turut diberikan perhatian khusus.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai langkah keselamatan serta penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani isu buli di sekolah, Fadhlina menegaskan KPM mengambil pendekatan holistik dan konsisten termasuk memperkasa peranan murid.
“Antara langkah yang sedang kita laksanakan secara konsisten adalah menjalankan audit keselamatan asrama, menambah pemasangan CCTV, serta menyediakan pembantu warden yang sangat penting dari segi kawalan dan keselamatan pelajar,” katanya.
Beliau berkata latihan turut diberikan kepada guru bimbingan dan kaunseling bagi mengenal pasti tanda-tanda awal buli, di samping memperluas saluran bagi membolehkan murid menyuarakan pandangan secara terus.
“Sekolah ini adalah milik komuniti. Jadi, komuniti juga ada tanggungjawab itu untuk bersama-sama dengan kita,” katanya.
Terdahulu dalam program itu, Fadhlina berkata pelaksanaan kaedah binaan bertingkat serta sistem binaan berindustri (IBS) modular turut menjadi penentu utama bagi mempercepatkan penyelesaian sekolah padat dan daif.
Selain aspek fizikal, beliau menegaskan kebajikan pelajar, terutamanya golongan berkeperluan khas dan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), terus menjadi agenda penting KPM.
“BAP ini amat penting untuk difahami konteksnya, di mana peruntukan disalurkan kepada semua murid tanpa mengira latar belakang supaya tiada anak-anak yang terpinggir.
“Peningkatan kadar BAP daripada RM150 kepada RM200 seorang sudah tentu memanjatkan rasa syukur kerana ia berupaya meringankan banyak beban kewangan keluarga,” katanya.
Fadhlina berkata KPM juga terus memperkukuh kesiapsiagaan sekolah menghadapi perubahan iklim termasuk gelombang haba dan banjir menerusi penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan sekolah.
“Menjelang fenomena El Nino yang dijangka membawa cuaca panas sepanjang tahun hadapan, pihak kementerian bersama Ketua Setiausaha telah berbincang mengenai langkah meningkatkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif,” katanya.
Fadhlina berkata KPM turut meneliti keperluan memindahkan atau menaik taraf sekolah yang berdepan risiko banjir berulang, khususnya yang terletak berhampiran sungai dan kawasan lembah.
“Jadi ada sekolah yang perlu dipindahkan, ada sekolah yang perlu kita naik taraf, ada sekolah yang memang tidak boleh diselamatkan lagi, maknanya sangat-sangat bahaya kedudukannya, sama ada di tepi sungai ataupun ia memang di lembah yang setiap kali hujan dakan terkesan dan sebagainya,” katanya.
-- BERNAMA