KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- OPPO hari ini melancarkan telefon pintar terbaharu menjadi kemegahan, Find X10 dan Find X10 Pro Max di Malaysia yang ditawarkan pada harga bermula RM4,999 hingga RM6,999, dengan sistem kamera beresolusi tinggi, kapasiti bateri lebih besar serta keupayaan kecerdasan buatan (AI) yang dipertingkat.
Siri Find X10 itu menampilkan sistem kamera dwi 200 megapiksel pada model Find X10, manakala Find X10 Pro Max dilengkapi sistem tiga kamera belakang 200 megapiksel yang pertama dalam industri, hasil kerjasama dengan Hasselblad.
Dalam satu kenyataan, OPPO memaklumkan siri berkenaan menggunakan sistem pengendalian ColorOS 17, dengan ciri berasaskan AI untuk mengurus fail, menyusun kandungan dan menyunting gambar menerusi arahan dalam bahasa harian.
Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Produk OPPO Pete Lau berkata siri terbaharu itu menggabungkan kemajuan perkakasan kamera dan teknologi fotografi pengkomputeran bagi menghasilkan warna, ton dan perincian yang lebih tepat.
“Siri Find X sentiasa didorong oleh komitmen kami untuk terus memajukan teknologi pengimejan mudah alih. Daripada sistem tiga kamera 200MP yang pertama dalam industri pada Find X10 Pro Max hinggalah kepada enjin LUMO True Image generasi baharu, Siri Find X10 direka untuk menghasilkan imej yang mencerminkan dunia sebenar dengan tepat serta merakam setiap detik sebagaimana yang dilihat oleh mata,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua model menyokong keupayaan rakaman video canggih, termasuk resolusi 4K pada kadar 60 bingkai sesaat (FPS) menggunakan semua kamera belakang. Sementara varian Pro Max turut menyokong rakaman video 8K pada kadar 30 FPS menerusi ketiga-tiga kameranya.
Menurut OPPO, siri Find X10 dilengkapi bateri silikon-karbon berkapasiti 8,000mAh yang menyokong pengecasan berwayar 80W dan pengecasan tanpa wayar 50W. Find X10 menggunakan pemproses MediaTek Dimensity 9600M berteknologi proses 3 nanometer, manakala model Pro Max dikuasakan pemproses MediaTek Dimensity 9600 Pro berteknologi proses 2 nanometer.
Kedua-dua peranti dilengkapi paparan dengan kadar segar semula sehingga 144Hz, kecerahan puncak 3,600 nit serta sokongan untuk gamut warna BT.2020. Kedua-duanya juga mempunyai penarafan ketahanan terhadap air dan habuk IP66, IP68 dan IP69.
“OPPO Find X10 ditawarkan dalam konfigurasi RAM 12GB + ROM 256GB, dengan pilihan warna Glacier Blue dan Mist Grey, serta RAM 12GB + ROM 512GB dalam pilihan warna Glacier Blue, Glow Coral dan Mist Grey, dengan harga bermula RM4,999.
“Sementara itu, OPPO Find X10 Pro Max dengan RAM 16GB + ROM 512GB ditawarkan pada harga RM6,999 dalam pilihan warna Luna White dan Titanium Grey,” menurut kenyataan itu.
OPPO memaklumkan tempahan awal dibuka hingga 29 Okt, dengan tawaran promosi termasuk pencetak 3D Bambu A1 Mini percuma bagi pembelian model Pro Max serta naik taraf storan percuma kepada 512GB bagi model Find X10, tertakluk pada terma dan syarat serta selagi stok masih ada.
Sementara itu, OPPO turut memperkenalkan Pad Mini Matte Display Edition, tablet paling nipis dan ringan pernah dikeluarkan syarikat itu setakat ini, dengan ketebalan 5.46 milimeter dan berat 282 gram.
“Tablet ini dikuasakan pemproses Qualcomm Snapdragon 8 Gen 5, yang merupakan pertama kali digunakan dalam industri tablet, serta dilengkapi bateri berkapasiti 8,000mAh dan menyokong pengecasan SUPERVOOC 67W.
“Ditawarkan dalam warna Lavender Purple dengan konfigurasi RAM 8GB + ROM 256GB pada harga RM3,699, tempahan awal turut disertakan rebat RM200, sarung OPPO Pad Mini Matte Display Edition dan OPPO Pencil 3 percuma,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA