KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan 376,000 unit pelitup muka kepada murid sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi membantu melindungi kesihatan mereka susulan masalah jerebu.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, kurniaan itu akan diagihkan kepada murid di 289 sekolah di Kuala Lumpur dan 28 sekolah di Putrajaya, khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
Majlis penyerahan kurniaan itu disampaikan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Tan Sri Dr Azmi Rohani kepada pengetua dan guru besar sekolah terlibat di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Kurniaan disalurkan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dengan kerjasama Jeffrey Cheah Foundation dan Wangsa Ultima Sdn Bhd,” menurut hantaran itu.
Turut hadir Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor Hishamuddin Abdul Rahim dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Hal Ehwal Murid Kementerian Pendidikan Hirudin Mohit.
Sebelum ini, Seri Paduka Baginda berkenaan menyumbangkan 500,000 pelitup muka bagi kegunaan pelajar di Johor serta hampir 300,000 unit khusus buat petugas barisan hadapan termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri itu.
Raja Zarith Sofiah turut berkenan mengurniakan 200,000 pelitup muka kepada penunggang motosikal warga Malaysia yang bekerja di Singapura susulan jerebu di Johor.
-- BERNAMA