PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Cadangan penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan perlu diteliti secara menyeluruh bagi memastikan undang-undang itu benar-benar dapat dilaksanakan dan dikuatkuasakan, bukan sekadar memenuhi tuntutan rakyat.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata antara cabaran utama penggubalan akta berkenaan ialah kesukaran mendapatkan bukti mencukupi untuk mengenal pasti punca pencemaran serta pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian kebakaran di luar negara.
Beliau berkata kementeriannya telah beberapa kali meneliti kewajaran penggubalan undang-undang seperti itu dari pelbagai sudut termasuk kebolehlaksanaan, keperluan untuk mendapatkan bukti, bidang kuasa, penguatkuasaan serta implikasinya terhadap hubungan diplomatik dengan negara serantau.
"Cabaran utama dalam pelaksanaan undang-undang yang mempunyai elemen merentas sempadan ialah keupayaan untuk mendapatkan bukti yang mencukupi bagi menentukan punca pencemaran dan pihak yang bertanggungjawab," katanya pada sidang media tentang situasi jerebu di sini, hari ini.
Beliau berkata penguatkuasaan undang-undang berkenaan memerlukan maklumat terperinci mengenai koordinat kawasan kebakaran, pemilikan tanah dan pihak yang menjalankan aktiviti di kawasan terbabit, selain bukti yang menghubungkan kebakaran dengan jerebu di Malaysia.
"Secara lazimnya, maklumat ini semua melibatkan bidang kuasa, kerahsiaan serta kedaulatan negara yang berkenaan. Oleh itu, sebarang cadangan penggubalan undang-undang baharu ini perlu diteliti secara menyeluruh bagi memastikan peruntukannya benar-benar boleh dilaksanakan dan dikuatkuasakan secara berkesan," katanya.
Arthur berkata kerajaan turut mengambil iktibar daripada pengalaman sebuah negara anggota ASEAN yang menggubal undang-undang seumpamanya kira-kira 10 tahun lepas, tetapi berdepan dengan kesukaran melaksanakan penguatkuasaan.
"Sekiranya Malaysia ingin mengambil langkah yang serupa, kita perlu memastikan bahawa usaha dan rang undang-undang itu akan efektif dan bukan setakat untuk memuaskan optik rakyat sahaja," katanya.
Beliau berkata kementeriannya mengambil maklum pandangan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang ramai dan pemimpin masyarakat yang menggesa kerajaan memperkukuh kerangka perundangan bagi menangani pencemaran jerebu rentas sempadan.
Arthur berkata pada masa ini, kerajaan terus menggunakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] sebagai asas penguatkuasaan terhadap pencemaran dan pembakaran terbuka dalam negara.
Di peringkat serantau pula, Arthur berkata Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) kekal sebagai kerangka utama kerjasama negara anggota dalam menangani masalah berkenaan.
"Perjanjian ini mengiktiraf hak kedaulatan setiap negara, di samping tanggungjawab untuk memastikan aktiviti dalam bidang kuasa masing-masing tidak menyebabkan kerosakan alam sekitar atau memudaratkan kesihatan rakyat di negara lain," katanya.
-- BERNAMA