Am 22/10/2026 02:33 PM

Wakaf Pulau Pinang Rancang Enam Projek Pembangunan Lebih RM200 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Wakaf Pulau Pinang Rancang Enam Projek Pembangunan Lebih RM200 Juta
Gambar Fail

GEORGE TOWN, 22 Okt (Bernama) -- Wakaf Pulau Pinang merancang membangunkan enam projek bernilai lebih RM200 juta melibatkan perumahan mampu milik, kediaman asnaf dan kemudahan logistik bagi memperluas pemilikan hartanah dalam kalangan umat Islam negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang Abdul Mohsein Mohd Shariff berkata pelaksanaan projek itu melibatkan tanah yang diserahkan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk ditadbir dan dijangka siap secara berperingkat bermula 2027.

“Pembangunan itu meliputi beberapa kawasan di Pulau Pinang termasuk di Timur Laut, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah dengan keluasan keseluruhan tanah melebihi empat hektar.

“Penyediaan kemudahan logistik turut dijangka membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Kemuncak Pembangunan Wakaf Pulau Pinang 2026 di sini hari ini.

Abdul Mohsein berkata menerusi enam projek itu, kira-kira 1,000 unit rumah dibina termasuk pembangunan rancangan perumahan sebelum ini, yang akan memberikan lebih banyak peluang kepada umat Islam untuk memiliki kediaman sendiri.

Harga kediaman itu akan ditawarkan pada kadar mampu milik berbanding nilai pasaran dengan beliau memberi contoh rumah bernilai RM300,000 di kawasan pulau berpotensi dijual pada harga kira-kira RM250,000.

Beliau berkata tawaran harga itu berikutan kadar pemilikan hartanah dalam kalangan umat Islam masih rendah, khususnya di kawasan Timur Laut.

“Pembangunan tanah wakaf termasuk di lokasi penempatan Melayu berpotensi meningkatkan pemilikan kediaman kepada umat Islam, khususnya di kawasan bandar. Hasrat kita bukan hanya mendapatkan keuntungan, sebaliknya memberi peluang pemilikan kepada umat Islam di Pulau Pinang,” katanya.

Abdul Mohsein berkata usaha meningkatkan pemilikan hartanah umat Islam itu turut selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri 2030, khususnya teras pembangunan sosioekonomi.

Bagaimanapun, beliau mengakui pembangunan itu berhadapan dengan cabaran apabila pemaju lazimnya mengutamakan keuntungan manakala penyediaan rumah pada harga rendah memerlukan subsidi yang boleh mengurangkan minat mereka untuk melaksanakan projek.

“Model pembangunan khusus bagi tanah wakaf perlu diwujudkan supaya matlamat sosial dan ekonomi dapat diseimbangkan tanpa membebankan bakal pembeli,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata Wakaf Pulau Pinang turut meneliti cadangan pembangunan hotel dan rumah musafir di kawasan Timur Laut, mengambil kira nilai tanah yang tinggi serta potensi menjana aktiviti ekonomi.

-- BERNAMA