Am 22/10/2026 11:37 AM

SKM Diminta Permudah Permohonan Bantuan Koperasi, Kurangkan Birokrasi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SKM Diminta Permudah Permohonan Bantuan Koperasi, Kurangkan Birokrasi
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin (tengah) bergambar bersama penerima-penerima anugerah pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2026 (MAGK'26) Negeri Kedah malam tadi.

ALOR SETAR, 22 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) diminta mempermudah proses permohonan bantuan dan mengurangkan kerenah birokrasi bagi menggalakkan lebih banyak koperasi memanfaatkan dana pembangunan perniagaan yang masih tersedia.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata jumlah permohonan yang diterima ketika ini masih rendah walaupun kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk menyokong pertumbuhan perniagaan koperasi.

Beliau berkata antara kemudahan yang disediakan termasuk geran pembangunan perniagaan dan pembiayaan modal pusingan, namun masih terdapat koperasi yang belum memanfaatkan peluang berkenaan.

“Peruntukan kita masih banyak, tetapi permohonan daripada koperasi agak kurang kerana tidak ramai yang memohon. Kita minta SKM membantu koperasi pada peringkat bawah, termasuk membimbing mereka menyediakan permohonan dan mengurangkan kerenah birokrasi supaya prosesnya lebih mudah serta tidak menyulitkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2026 Negeri Kedah di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Bantuan Pembangunan Perniagaan Koperasi berjumlah RM1.9 juta kepada 15 koperasi serta Tabung Modal Pusingan berjumlah RM200,000 kepada sebuah koperasi bagi menyokong pengembangan aktiviti perniagaan mereka.

Mohamad Alamin berkata kerajaan turut menyediakan peluang bantuan tambahan kepada koperasi yang menjalankan aktiviti berkaitan keterjaminan makanan dan pertanian.

Beliau berkata gerakan koperasi perlu beralih daripada hanya menumpukan kebajikan anggota dan mengharapkan dividen tahunan kepada model perniagaan yang mampu menjana pendapatan secara mampan.

“Setiap koperasi perlu membuat perancangan perniagaan dengan teliti berdasarkan potensi masing-masing. Jangan melaksanakan aktiviti yang tidak mempunyai prospek jangka panjang kerana akhirnya koperasi sendiri akan menghadapi masalah.

“Kita mahu mengangkat koperasi supaya menjadi entiti perniagaan yang lebih berdaya maju, bukan sekadar badan yang menjaga kebajikan anggota,” katanya.

Beliau berkata SKM juga perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan menyediakan khidmat konsultasi, kepakaran dan bimbingan bagi membantu koperasi menguruskan perniagaan secara profesional serta menangani masalah pada peringkat awal.

-- BERNAMA