RAMALLAH/ISTANBUL, 21 Okt (Bernama-Anadolu) -- Tentera Israel menahan calon Kongres Demokrat Amerika Syarikat (AS) Brad Lander, yang merupakan sekutu Datuk Bandar New York Zohran Mamdani, bersama puluhan aktivis dan petani Palestin semasa mereka memetik buah zaitun di Tebing Barat yang diduduki, pada Rabu kata seorang aktivis kepada Anadolu Ajansi.
Aktivis Palestin Amira Muslim memberitahu Anadolu bahawa tentera Israel menahan 45 aktivis warga asing, termasuk Lander, serta 25 aktivis Israel, semasa mereka sedang memetik buah zaitun di Pekan Husan, barat Bethlehem.
Beliau berkata pihak berkuasa Israel menahan semua aktivis berkenaan, menempatkan mereka di dalam bas dan memindahkan mereka ke kawasan penempatan berhampiran. Lokasi terakhir dan keberadaan mereka masih belum dipastikan.
Kumpulan itu turut merangkumi aktivis daripada "T’ruah: The Rabbinic Call for Human Rights", sebuah organisasi Yahudi yang berpangkalan di New York City, kata Amira.
Tiada maklumat lanjut diperoleh secara serta-merta mengenai jumlah petani Palestin yang ditahan atau sama ada tentera Israel telah membebaskan mana-mana individu yang ditahan.
Lander mengesahkan penahanannya menerusi hantaran di platform media sosial X, dengan menyatakan beliau ditahan "bersama sekumpulan rabbi dan sukarelawan."
"Kami hanya memetik buah zaitun di dusun berhampiran Nehalim di Tebing Barat," katanya.
Sambil menegaskan sama ada pekerjaan itu merupakan satu jenayah mengikut undang-undang antarabangsa, beliau berkata: "Memetik buah zaitun bukanlah satu jenayah di bawah mana-mana undang-undang yang saya tahu."
Serangan oleh peneroka haram Israel terhadap penduduk Palestin dan tanah mereka di Tebing Barat semakin meningkat semasa musim memetik buah zaitun. Serangan itu merangkumi pencerobohan fizikal ke atas petani, menghalang mereka daripada mengakses tanah sendiri, mencuri hasil tanaman dan merosakkan pokok zaitun.
Perangkaan rasmi Palestin menunjukkan kira-kira 750,000 peneroka haram Israel tinggal di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, menerusi 194 penempatan dan kira-kira 400 pos kawalan.
-- BERNAMA-ANADOLU