Am 21/10/2026 02:34 PM

Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh Dipenjara Lapan Bulan Kes Terima Rasuah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh Dipenjara Lapan Bulan Kes Terima Rasuah
Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh Mohd Azhar Mohd Yusoff dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan atas 46 pertuduhan rasuah antara 2019 hingga 2023.

KUANTAN, 21 Okt (Bernama) -- Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh Mohd Azhar Mohd Yusoff, hari ini dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesemua 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 antara 2019 hingga 2023.

Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Azhar, 56, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Sazlina membenarkan permohonan Mohd Azhar untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga proses seterusnya. 

Terdahulu, peguam Datuk M. Athimulan memohon supaya anak guamnya hanya dikenakan hukuman denda kerana sabitan kesalahan itu memberi kesan serius, termasuk kemungkinan dipecat daripada perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kehilangan hak pencen. 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Shah Abd Razak memohon hukuman penjara dan denda yang tinggi, dengan mengambil kira kedudukan tertuduh sebagai pegawai kanan polis serta keseriusan kesalahan dilakukan.

Mohd Radzi berkata tertuduh menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Polis Daerah Temerloh untuk menerima wang daripada pihak tertentu, sekali gus menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap penjawat awam, khususnya PDRM.

Pada 29 Jun, mahkamah memerintahkan Mohd Azhar membela diri atas kesemua 46 pertuduhan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA