Am 21/10/2026 01:48 PM

Malaysia, Indonesia Cadang Meterai MoU Atasi Jerebu Rentas Sempadan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia, Indonesia Cadang Meterai MoU Atasi Jerebu Rentas Sempadan
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia bercadang untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim, bagi memperkukuh usaha mencegah kebakaran hutan serta tanah termasuk mengurangkan risiko jerebu rentas sempadan.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkata kerjasama itu, akan menumpukan kepada perkongsian data pemantauan titik panas, pengurusan kawasan berisiko dan penyelarasan tindakan awal, bagi mencegah kebakaran daripada merebak.

“Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama menerusi Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP), sebagai mekanisme utama untuk memperkukuh langkah pencegahan, pemantauan dan tindak balas terhadap kejadian jerebu selaras dengan aspirasi ASEAN bebas jerebu menjelang 2030,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) mengenai tindakan diplomatik serta kerjasama antara Malaysia dan Indonesia, bagi mengurangkan risiko jerebu rentas sempadan.

Syed Ibrahim berkata Malaysia juga menawarkan bantuan rasmi kepada Indonesia pada 9 Sept bagi mengatasi kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan serta Sumatera, menerusi pemadaman kebakaran dari udara selain operasi pembenihan awan.

Beliau berkata Indonesia bersetuju dengan tawaran tersebut dan penyelarasan penghantaran bantuan sedang dilaksanakan, menerusi Kementerian Luar dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi berkaitan.

Syed Ibrahim berkata Malaysia turut mengemukakan dua inisiatif utama pada peringkat ASEAN, iaitu diplomasi sains untuk memperkukuh penggunaan data dan bukti saintifik dalam pengurusan jerebu, selain dana jerebu mampan bagi memperluas pembiayaan usaha mencegah kebakaran serta pengurusan jerebu serantau.

Beliau berkata perbincangan mengenai inisiatif itu akan diteruskan pada mesyuarat ke-21 Jawatankuasa dan Persidangan Negara-Negara Pihak kepada AATHP di Vietnam, Disember ini.

Menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai cadangan penggubalan undang-undang khusus mengatasi jerebu rentas sempadan, Syed Ibrahim berkata perkara itu memerlukan penelitian bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Dalam hal ini, cabaran utama ialah keupayaan untuk kita dapat bukti yang mencukupi dan tentukan punca pencemaran serta pihak bertanggungjawab.

“Ini termasuk keperluan untuk mendapatkan maklumat mengenai lokasi, koordinat kawasan kebakaran, pemilikan tanah, pihak yang menjalankan aktiviti di kawasan berkenaan, serta bukti menghubungkan sesuatu kejadian kebakaran itu dengan pencemaran jerebu,” katanya.

-- BERNAMA