SEPANG, 21 Okt (Bernama) -- Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini, bagi menghadapi pertuduhan mengasari dua anggota polis.
Beliau tiba di mahkamah pada 7.30 pagi dengan memakai sut lengkap berwarna biru dan ditemani Komander AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
Seawal 7 pagi, pemberita dan jurugambar serta jurukamera pelbagai agensi media mula berkumpul di mahkamah itu, bagi mengikuti perkembangan kes tersebut.
Semalam, Mohd Shuhaily berkata beliau bersedia menghadapi proses sistem perundangan negara dan menerima apa-apa jua keputusan mahkamah berhubung kes berkenaan.
Mohd Shuhaily sebelum ini menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan, susulan video tular yang memaparkan beliau memarahi dua individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata siasatan kes itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.
-- BERNAMA