Am 20/10/2026 10:10 PM

Sarawak Harap Peruntukan Belanjawan 2027 Dapat Tangani Keperluan Penjagaan Kesihatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sarawak Harap Peruntukan Belanjawan 2027 Dapat Tangani Keperluan Penjagaan Kesihatan
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian Credit: Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS

KUCHING, 20 Okt (Bernama) -- Sarawak berharap agar Belanjawan Persekutuan 2027 yang baru dibentangkan akan menyalurkan peruntukan yang besar bagi menampung keperluan penjagaan kesihatan di negeri ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata Sarawak menuntut layanan yang adil bagi mengatasi masalah kekurangan dana dan kekangan sumber yang telah berlarutan selama bertahun-tahun, yang turut menjejaskan petugas barisan hadapan perubatan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengumumkan jumlah keseluruhan sebanyak RM47.7 bilion untuk sektor kesihatan negara dalam Belanjawan 2027 dan kami berharap sebahagian daripada peruntukan itu akan disalurkan kepada Sarawak bagi menambah baik kemudahan serta memenuhi keperluan kesihatan di sini.

“Kita tidak meminta kemudahan atau sumber manusia yang lebih baik daripada Semenanjung Malaysia, sebaliknya hanya mahu ia setara supaya rakyat Sarawak dapat menikmati kemudahan kesihatan dan taraf sumber manusia penjagaan kesihatan yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya di persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Dr Sim berkata semasa mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kota Kinabalu pada September, beliau telah meminta Perdana Menteri supaya membenarkan Sarawak melaksanakan pengambilan khas bagi mengisi 5,654 jawatan kosong, yang merangkumi 18 peratus daripada jumlah tenaga kerja di bawah Jabatan Kesihatan Sarawak.

“Ini belum termasuk pewujudan 11,000 jawatan (pelbagai kategori) bagi menyelaraskan dengan norma serta piawaian perjawatan Kementerian Kesihatan (KKM), susulan audit yang dijalankan oleh KKM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terhadap tujuh buah hospital di Sarawak pada tahun lepas,” katanya.

-- BERNAMA