KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Bagi atlet Muay Thai negara yang juga seorang jurulatih, Nur Amisha Azrilrizal, pertarungan sebenar bukan setakat aksi di gelanggang.
Dalam usahanya mengejar peluang bertanding di peringkat antarabangsa, beliau turut menggalakkan golongan wanita di komunitinya untuk meneroka potensi diri melalui sukan itu.
“Setiap kali saya melangkah memasuki gelanggang, saya berjuang bukan hanya untuk diri sendiri. Saya berjuang demi peluang untuk membuktikan kemampuan wanita. Dan setiap kali saya melangkah masuk ke gim untuk melatih wanita lain, saya mahu mereka menyedari bahawa kekuatan yang dicari-cari itu sebenarnya sudah lama ada dalam diri mereka.
“Perjalanan ke pentas antarabangsa bukan mudah. Ia menuntut pengorbanan, disiplin dan kesungguhan walaupun pada hari sukar. Namun, jika perjalanan saya mampu memberi inspirasi walaupun hanya kepada seorang wanita untuk percaya diri sendiri, mencari keberanian dan mengambil langkah pertama, maka perjuangan ini membawa makna jauh lebih besar daripada sekadar memenangi gelaran,” katanya dalam kenyataan.
Nur Amisha merupakan jurulatih di NERD MMA Combat Gym di Cheras, lokasi beliau membantu golongan wanita memulakan langkah pertama dalam Muay Thai sambil meneruskan cita-citanya sendiri dalam sukan itu.
Kedua-dua peranan itu menuntut komitmen masa dan disiplin, namun Nur Amisha melihat kedua-duanya saling berkait kerana kesungguhan yang diperlukan untuk meningkatkan prestasi sebagai petarung turut menjadi nilai yang ingin diterapkan dalam kalangan wanita yang dilatihnya.
Pada masa yang sama, perjalanan ke pentas pertandingan antarabangsa menuntut usaha yang sering tidak terlihat, termasuk latihan kecergasan fizikal, latihan teknik, sparring dan pemulihan.
Bagi wanita yang menceburi sukan itu secara kompetitif, cabarannya bukan sekadar membuat persiapan untuk pertarungan, tetapi juga terus meningkatkan prestasi dan merebut peluang dalam persekitaran yang semakin kompetitif.
Nur Amisha dijadualkan beraksi pada kejohanan Triumph Fight di Jakarta pada 31 Okt ini, sekali gus memberinya satu lagi peluang untuk menguji kemampuan sebagai atlet Muay Thai.
Beliau turut berharap dapat mewakili Malaysia dalam pertandingan anjuran Persekutuan Antarabangsa Persatuan Muay Thai (IFMA) di Riyadh, Arab Saudi, namun penyertaannya masih tertakluk pada pengesahan butiran kejohanan dan urusan pemilihan rasmi.
Bagi Nur Amisha, peluang tersebut merupakan sebahagian daripada cita-cita yang lebih besar untuk mengukuhkan kedudukannya dalam Muay Thai serta meningkatkan pengiktirafan terhadap atlet wanita Malaysia dalam sukan itu.
“Saya mahu mewakili Malaysia dengan penuh rasa bangga, terus memberikan yang terbaik dan membantu mewujudkan ruang yang membolehkan wanita menyedari bahawa mereka juga mempunyai tempat dalam sukan tempur, bukan sekadar sebagai penonton, tetapi sebagai petarung yang mampu berdiri atas kemampuan sendiri,” katanya.
Di gim, beliau melatih golongan wanita yang berminat untuk menceburi sukan tempur tetapi masih berasa ragu-ragu untuk melangkah masuk ke persekitaran latihan yang asing bagi mereka.
Bagi yang baru berjinak-jinak dengan sukan itu, langkah pertama mungkin bermakna mempelajari pergerakan yang baharu, bimbang kelihatan kurang berpengalaman atau tertanya-tanya sama ada mereka benar-benar sesuai menceburi sukan tersebut.
Pengalaman Nur Amisha sebagai seorang wanita yang terlibat menjalani latihan, bertarung dan menjadi jurulatih dalam sukan Muay Thai dapat menjadi contoh tentang pelbagai cara wanita boleh melibatkan diri dalam sukan itu.
Beliau berkata latihan Muay Thai dapat membantu peserta meningkatkan kecergasan fizikal, koordinasi, keyakinan diri dan daya tahan, di samping belajar untuk kekal tenang ketika berdepan tekanan.
Bagi Nur Amisha, kejayaan perjalanannya mungkin tidak hanya diukur berdasarkan kemenangan atau gelaran yang diraih, tetapi juga dapat dilihat menerusi wanita yang melangkah masuk ke gim dengan perasaan ragu-ragu terhadap diri sendiri, namun keluar dengan keyakinan bahawa mereka mampu mencapai lebih daripada yang disangka.
-- BERNAMA