GEORGE TOWN, 20 Okt (Bernama) -- Kerja-kerja pembersihan dengan mengeluarkan sisa mendapan untuk melancarkan aliran air bagi membantu mengurangkan masalah pencemaran di Parit Cina dan Sungai Kereh di Tasek Gelugor dekat sini, dijangka bermula pada suku pertama 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jason H'ng Mooi Lye berkata inisiatif kerajaan negeri itu bagi mengatasi isu pencemaran Sungai Kereh yang berlarutan sejak beberapa dekad.
Beliau berkata sebanyak 61 ladang penternakan khinzir beroperasi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor ketika ini, namun punca sebenar pencemaran perlu dibuktikan menerusi pemeriksaan di lapangan dan tidak hanya berdasarkan kepada aktiviti tertentu semata-mata.
"Isu pencemaran perlu diteliti dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk aktiviti pertanian, pengurusan dan pelepasan sisa, sistem perparitan serta aspek persekitaran lain yang melibatkan bidang kuasa pelbagai agensi.
"Keutamaan kerajaan negeri pada masa ini adalah mengenal pasti punca sebenar pencemaran Sungai Kereh menerusi pemeriksaan dan penilaian menyeluruh. Tindakan juga akan dikenakan terhadap pihak yang melanggar peraturan serta langkah pembetulan dilaksanakan secara berkesan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau menjawab kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan pada persidangan Dewan Rakyat semalam yang mencadangkan supaya aktiviti penternakan khinzir di Tasek Gelugor dihentikan susulan isu pencemaran Sungai Kereh dikaitkan dengan pelepasan sisa buangan tidak dirawat daripada ladang penternakan berhampiran di Kampung Selamat.
Mengulas lanjut, H'ng berkata kerajaan negeri turut memperkukuh pengurusan sisa penternakan khinzir di Pulau Pinang menerusi beberapa pelan tindakan jangka pendek dan panjang seperti dibentangkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) pada 11 Mei lepas.
“Pelan jangka pendek merangkumi penghantaran sisa pepejal dan cecair dari ladang di Kampung Selamat ke loji biogas di Ampang Jajar. Bagi ladang penternakan di Seberang Perai Tengah pula, sisa sama dihantar ke loji biogas di Kampung Valdor bermula Jun lepas, manakala sisa bagi ladang penternakan di Seberang Perai Selatan dihantar ke loji sama bermula pada 2023.
“Pelaksanaan langkah ini bertujuan memperkukuh pengurusan sisa penternakan khinzir melalui kemudahan pemprosesan bersesuaian serta mengurangkan risiko pelepasan sisa yang boleh menjejaskan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata langkah penyelesaian jangka panjang pula merangkumi cadangan pembinaan fasiliti loji biogas di Kampung Selamat bagi membolehkan sisa penternakan diurus secara lebih sistematik dan mampan.
H'ng berkata kerajaan negeri juga berpandangan bahawa industri penternakan khinzir berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang dan menyokong sektor-sektor berkaitan, namun perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab pengusaha untuk mematuhi peraturan serta memastikan operasi penternakan tidak menjejaskan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.
“Kerajaan negeri yakin bahawa pengurusan industri penternakan khinzir boleh dipertingkatkan menerusi penggunaan teknologi moden, sistem rawatan sisa yang berkesan, pemantauan dan penguatkuasaan tegas terhadap ketidakpatuhan.
“Selain itu, kerajaan negeri juga akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi berkaitan bagi memastikan penyelesaian jangka pendek dan panjang dapat dilaksanakan secara bersepadu, praktikal dan mampan demi melindungi alam sekitar serta kesejahteraan rakyat Pulau Pinang,” katanya.
-- BERNAMA