Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat mengurangkan sehingga 90 buah lori kontena di jalan raya bagi setiap perjalanan kereta api atau tren kargo, sekali gus menyokong peralihan Malaysia kepada mod pengangkutan barangan berasaskan rel.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata ini berikutan setiap tren kargo mampu membawa kira-kira 45 gerabak atau bersamaan dengan 90 unit kontena setara 20 kaki (TEU) yang memberi alternatif pengangkutan barangan antara Pantai Timur dan Barat Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata ECRL akan menghubungkan Pelabuhan Kuantan dan di masa depan merangkumi Pelabuhan Kemaman di Pantai Timur dengan Westports dan Northport di Pelabuhan Klang yang dapat memperkukuhkan lagi rangkaian pengangkutan barangan antara pelabuhan-pelabuhan utama negara.
“Bagi jarak lebih jauh yang melebihi 200 kilometer, ini merupakan pilihan yang lebih bijak serta menjimatkan kos untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan rel kami.
“Oleh itu, kami amat menggalakkan syarikat-syarikat di Pantai Timur untuk beralih kepada ECRL,” katanya pada sesi temu bual di Bernama Mobile Studio iaitu kemudahan studio bergerak, bersempena Ekspo Pengangkutan Asia 2026 (TXA 2026) baru-baru ini.
Menjelaskan selanjutnya, Darwis berkata usaha menarik perniagaan untuk beralih daripada menggunakan jalan raya kepada rel juga bergantung kepada penetapan harga yang berdaya saing, jadual yang boleh diharapkan serta rangkaian penghantaran ke lokasi akhir yang berkesan memandangkan lori masih diperlukan bagi mengangkut barangan ke destinasi ditetapkan.
Beliau berkata pengangkutan kargo menerusi rel juga dapat menawarkan kos operasi lebih rendah untuk syarikat selain kepastian lebih jelas dalam jadual penghantaran yang hanya menyokong inisiatif kerajaan bagi mengalihkan pengangkutan dari jalan raya kepada rel.
Operasi percubaan ECRL November ini
Darwis berkata kemajuan pembinaan projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu mencecah 98.16 peratus setakat Oktober 2026 dengan operasi percubaan dijadualkan pada November dan seterusnya perkhidmatan komersial bermula pada 12 Disember 2026.
Laluan rel berkenaan akan menghubungkan Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan yang menyediakan pilihan pengangkutan alternatif selain meningkatkan lagi hubungan antara Pantai Timur dan Lembah Klang.
“Bersandarkan kemajuan yang kami capai pada masa ini, projek ECRL itu siap kira-kira 98.16 peratus setakat Oktober. Adalah diharapkan pada November akan datang ini, kami dapat melakar pencapaian bermakna apabila operasi percubaan dilaksanakan selama sebulan dan selepas itu operasi bermula pada Disember,” katanya.
Darwis berkata perkhidmatan kereta api ekspres akan memendekkan perjalanan antara Gombak ke Kota Bharu kepada kira-kira empat jam manakala perkhidmatan transit memakan masa kurang daripada lima jam.
Perkhidmatan itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk Pantai Timur yang pulang sewaktu musim perayaan berbanding perjalanan melalui jalan raya yang memakan masa lebih lama.
Beliau juga menyifatkan ECRL akan menjadi sebahagian daripada ekosistem pengangkutan dan logistik bersepadu Malaysia manakala tumpuan MRL beralih daripada aspek pembinaan infrastruktur kepada usaha yang dapat memberi manfaat ekonomi dan sosial jangka panjang.
Sasar pindah teknolog dalam masa lima tahun
Dalam pada itu, ECRL Operations Sdn Bhd (EOSB) yang juga syarikat usaha sama dengan kepentingan 50:50 antara MRL and China Communications Construction Company (CCCC), akan menguruskan operasi dan penyelenggaraan perkhidmatan kereta api berkenaan.
Kerjasama itu akan memanfaatkan pengalaman China dalam aspek pengendalian serta penyelenggaraan sistem rel selain memudahkan usaha pemindahan teknologi kepada tenaga kerja Malaysia dalam masa lima tahun.
“Kami bekerjasama sebagai rakan dengan kepentingan 50-50 bagi mengendalikan operasi dan penyelenggaraan ECRL. Kami turut mengiktiraf pengalaman luas mereka dalam menguruskan operasi dan penyelenggaraan memandangkan rangkaian kereta api di China sahaja sudah melebihi 150,000 kilometer,” katanya.
Darwis berkata kerjasama itu bertujuan menawarkan perkhidmatan yang selamat, diyakini serta menepati piawaian tahap tinggi dan pada masa sama membangunkan kepakaran tempatan dalam operasi dan penyelenggaraan rel atau kereta api.
Dalam pada itu, penumpang ECRL akan ditawarkan dengan pilihan perkhidmatan jenis Kelas Perniagaan, Kelas Ekonomi Premium dan Ekonomi.
Kelas Ekonomi misalnya menyediakan susun atur tempat duduk 3-2 manakala Kelas Perniagaan susunan 2-2 yang lebih luas serta perkhidmatan tambahan menyamai kemudahan kelas perniagaan syarikat penerbangan.
Kereta api dengan perkhidmatan Kelas Perniagaan dan Kelas Ekonomi menyediakan kira-kira 409 tempat duduk dan tren Kelas Ekonomi sepenuhnya dapat menampung kira-kira 425 penumpang.
Kemudahan lain yang disediakan adalah bistro untuk penumpang membeli makanan ringan dan minuman.
Darwis berkata pihak MRL akan menetapkan data asas bilangan kenderaan yang menggunakan jalan raya sebelum memantau jumlah pengguna yang beralih kepada pengangkutan rel apabila operasi ECRL dimulakan.
Beliau juga optimis perkhidmatan ini mampu mengubah tabiat atau kelaziman perjalanan rakyat Malaysia dengan menawarkan tempoh masa perjalanan boleh dijangkakan selain menjadi alternatif kepada penggunaan kenderaan persendirian bagi tujuan perjalanan antara bandar-bandar.
-- BERNAMA