MARANG, 20 Okt (Bernama) -- Seorang banduan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang banduan lain dalam kejadian di Penjara Marang, Ogos lepas.
Che Mohd Nazzaruddin Che Ros, 35, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Nor Mohd Helmi Sahari di Zon 2, R10, Penjara Marang antara 8.45 pagi hingga 9.15 pagi pada 24 Ogos lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sekiranya hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berumur di bawah 50 tahun boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Tertuduh juga tidak dibenarkan diikat jamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noradila Ab Latif manakala Che Mohd Nazzaruddin tidak diwakili peguam.
Di Mahkamah sama, dua lagi banduan iaitu Mohd Fadli Che Mansor, 36, dan Nor Dhitauddin Afiq Norwadi, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat atau dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa sama pada tarikh, masa serta lokasi serupa.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Athirah Hashim membenarkan kedua-dua tertuduh, yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Shameer Haziq Shaharuddin, masing-masing diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 5 Nov ini untuk sebutan semula kes Mohd Fadli dan Nor Dhitauddin manakala kes Che Mohd Nazzaruddin pada 10 Dis.
-- BERNAMA