KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Golongan agamawan perlu memperluas penguasaan ilmu dengan mengikuti perkembangan sains, teknologi dan geopolitik bagi memastikan risalah dakwah kekal relevan dalam mendepani cabaran dunia semasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata penguasaan ilmu kontemporari perlu bergerak seiring dengan pengajian ilmu tradisi dan turath bagi membolehkan golongan agamawan memahami perubahan dunia serta menangani cabaran ummah secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata perkembangan seperti kriptografi pascakuantum, pengkomputeran kuantum dan kecerdasan super antara bidang yang wajar diberikan perhatian kerana mempunyai implikasi terhadap keselamatan siber, ekonomi dan persaingan geopolitik.
“Teknologi komputer kuantum berupaya memecahkan sistem keselamatan yang digunakan pada perbankan, komunikasi, kerajaan dan data peribadi hari ini,” katanya.
Beliau turut merujuk perkembangan di Amerika Syarikat yang memberikan perhatian kepada teknologi kecerdasan super, termasuk perintah eksekutif bertajuk “Inaugurating the Era of Super Intelligence” yang ditandatangani Presiden Donald Trump pada 29 Sept lepas.
Menurut Zulkifli, perkembangan teknologi dan geopolitik global menuntut masyarakat, termasuk golongan agamawan memahami isu strategik serta mengelakkan tumpuan terhadap perkara ranting serta perbezaan pendapat yang kurang membawa manfaat.
Beliau berkata kriptografi pascakuantum juga penting dalam usaha melindungi data daripada ancaman komputer kuantum pada masa depan, khususnya terhadap sistem keselamatan yang digunakan dalam sektor perbankan, komunikasi dan kerajaan.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa syukur apabila Malaysia muncul sebagai satu-satunya negara ASEAN yang mencapai tahap tertinggi, Tier 1 dalam kesiapsiagaan penghijrahan kepada kriptografi pascakuantum.
Zulkifli berkata penguasaan isu global dan pemikiran strategik penting bagi memastikan bimbingan golongan agamawan sentiasa berhikmah, tegas serta berupaya mendepani cabaran ummah secara tuntas.
“Sains dan teknologi mesti dikuasai sebagai alat memelihara integriti agama, berteraskan nilai-nilai syarak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli menekankan kepentingan memelihara silaturahim sesama insan melalui dakwah dan seni budaya tempatan, dengan merujuk kepada pertemuan semula anggota kumpulan muzik XPDC dalam sebuah konsert baru-baru ini.
Beliau berkata perbezaan pandangan dalam masyarakat atau organisasi adalah perkara lumrah yang tidak seharusnya menjejaskan hubungan persaudaraan.
“Pertemuan semula ini menjadi manifestasi indah bahawa perbezaan pandangan adalah perkara lumrah yang tidak sepatutnya merobek tali silaturahim dan ukhuwah sesama insan,” katanya.
Beliau berkata karya seni juga berupaya menjadi medium untuk mendidik jiwa masyarakat serta menyampaikan mesej ketuhanan dan iktibar kehidupan.
“Menerusi alunan lagu-lagu seperti Sedekah, Titian Perjalanan hingga ke lagu ‘anthem’ mereka - Kita Peng Yu, mereka membuktikan bahawa seni berkeupayaan menjadi medium yang mendidik jiwa serta mengajak masyarakat kembali kepada nilai-nilai kebaikan,” katanya.
-- BERNAMA