Am 19/10/2026 11:18 AM

Nafuzi Puas Hati Prestasi Anak Buah Meski Tewas Di Tangan JDT

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Nafuzi Puas Hati Prestasi Anak Buah Meski Tewas Di Tangan JDT
Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Mohd Nafuzi Zain

KUALA NERUS, 19 Okt (Bernama) -- Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Mohd Nafuzi Zain tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya meskipun tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.

Bekas jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara itu berkata pemain telah berusaha keras dan mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang perlawanan ketika berdepan pasukan yang mendominasi saingan liga itu.

Bagaimanapun, beliau berkata kesilapan mudah pada separuh masa pertama menyaksikan skuad Penyu bolos dua gol, sekali gus menyukarkan usaha mereka untuk bangkit memburu mata di laman sendiri.

"Secara keseluruhan saya rasa pemain telah memberi persembahan yang baik kerana kita berjumpa pasukan gergasi JDT yang semua maklum tentang reputasinya. Kita tidaklah bermain dengan terlalu teruk.

"Cuma pada babak pertama mungkin pemain terlalu berhati-hati hingga kita bolos dua gol yang sangat mudah. Tetapi kita juga dapat cipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Apa pun pemain telah menunjukkan peningkatan prestasi dan karakter yang saya inginkan. Saya harap mereka dapat teruskan pada masa akan datang," katanya selepas perlawanan itu.

Nafuzi bagaimanapun mengakui kecewa dengan kegagalan Mateusinho menyempurnakan sepakan penalti yang berpeluang membuka ruang kepada TFC untuk kembali memberi tekanan kepada JDT.

Jurulatih kelahiran Kelantan itu berkata jika sepakan berkenaan disempurnakan ketika ketinggalan 0-2, jaringan itu mampu meningkatkan semangat pemain untuk memburu gol penyamaan.

"Jika kedudukan menjadi 2-1, mungkin suntikan moral itu lebih tinggi untuk kita cuba menyamakan kedudukan 2-2. Namun, ternyata bukan rezeki kita untuk mendapatkan gol menerusi sepakan penalti.

"Sebelum ini Gervane Kastaneer yang biasa mengambil sepakan penalti. Tetapi semalam Meteusinho meminta untuk diberi peluang dan dipersetujui oleh Kastaneer," katanya.

Kemenangan 3-0 itu membolehkan JDT terus kukuh di persada Liga Super dengan 18 mata, manakala TFC turun dua anak tangga ke kedudukan kesembilan dengan lima mata.

-- BERNAMA