Am 19/10/2026 10:26 AM

SOJC 2026: Young Tigers Digesa Mantapkan Jentera Serangan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SOJC 2026: Young Tigers Digesa Mantapkan Jentera Serangan
Nor Saiful Zaini Nasiruddin

JOHOR BAHRU, 19 Okt (Bernama) -- Skuad hoki remaja negara digesa untuk mempertajam jentera serangan dan memanfaatkan setiap peluang yang diperoleh bagi memastikan kemaraan ke final Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026.

Ketua jurulatih skuad Young Tigers Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata aspek berkenaan perlu diperbaiki segera menjelang aksi kedua menentang Jepun esok.

Beliau bagaimanapun memuji prestasi keseluruhan anak buahnya selepas mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas China, meskipun mereka berupaya untuk meledakkan lebih banyak gol.

“Aksi menentang China, kita dapat tiga mata. Saya puas hati tetapi kita terlepas banyak peluang menjaringkan gol. Kalau tengok, itu adalah kelemahan yang perlu diperbaiki dan mungkin (dengan mengasah ketajaman jentera serangan) kita boleh pergi jauh lagi dalam perlawanan akan datang,” katanya pada sidang media malam tadi.

Dalam pada itu, Nor Saiful berkata skuad Young Tigers perlu berwaspada dengan pasukan Jepun walaupun negara berkenaan tidak menampilkan skuad utama Piala Asia dalam saingan SOJC.

“Jepun perlawanan penting, mereka ada pasukan yang kuat dan kita kena berhati-hati. Jadi, pemain perlu disiplin (dalam mengikuti strategi),” katanya.

Skuad Young Tigers memulakan kempen SOJC 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan China 3-0 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya di sini malam tadi.

Pemain pertahanan Muhammad Nabil Irfan Mohd Yusof menjaringkan dua gol masing-masing pada minit kelima dan ke-28, sebelum jaringan pemain tengah Aferull Syah Ahmad Azuan Syahrill pada minit ke-57.

-- BERNAMA