KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Isu bantuan kepada isi rumah kumpulan M40, peruntukan program sekolah dan Kampung Angkat MADANI serta keberkesanan Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) antara perkara yang dijadual dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) meminta Menteri Kewangan menjelaskan langkah membantu isi rumah M40 yang tidak lagi layak menerima bantuan bersasar, tetapi terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, termasuk mekanisme menilai semula kelayakan berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan semasa.
Datuk Dr Richard Rapu @ Aman anak Begri (GPS-Betong) pula meminta Menteri Kewangan menjelaskan pecahan terperinci peruntukan RM50 juta dan RM200 juta yang dibelanjakan bagi program Sekolah, serta Kampung Angkat MADANI bagi memastikan ketelusan impak kewangan dan bilangan sebenar penerima manfaat Program Perumahan Rakyat (PPR)
Turut dijangka menjadi tumpuan ialah pertanyaan Hassan Saad (PN-Baling) yang meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan petunjuk prestasi bagi menilai keberkesanan Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) dalam mengurangkan aduan harga keterlaluan.
Turut disenaraikan ialah pertanyaan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mengenai status pelaksanaan Dasar Wanita Negara 2025-2030 setakat ini.
Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) pula meminta Menteri Komunikasi menjelaskan sama ada kementerian bercadang memperluas had umur penggunaan media sosial kepada platform permainan dalam talian, khususnya yang mempunyai ramai pengguna kanak-kanak dan remaja.
Selesai sesi soal jawab, persidangan dewan dijadual diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat dasar, susulan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 9 Okt lepas.
Menurut takwim Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15, perbahasan Belanjawan 2027 pada peringkat dasar berlangsung dari 12 hingga 22 Okt, sebelum sesi penggulungan oleh menteri berkaitan selama empat hari bermula 26 Okt.
Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis ini.
-- BERNAMA