KUALA LANGAT, 18 Okt (Bernama) -- Program MADANI Kita (PMK) Tanjong Sepat 2026 menerima kehadiran kira-kira 8,000 pengunjung dan menjadi platform memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan kepada komuniti setempat.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah berkata program anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Selangor itu memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan pelbagai maklumat dan perkhidmatan kerajaan secara terus.
"Program seumpama ini menjimatkan masa rakyat untuk berurusan kerana jabatan dan agensi kerajaan sendiri turun padang mendekati mereka dengan memberi perkhidmatan masing-masing.
"Ini pendekatan yang perlu terus diperkukuh kerana kerajaan bukan saja merangka dasar dan melaksanakan pembangunan, namun memastikan inisiatif yang disediakan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program itu di Dataran Pantai Batu Laut, Tanjong Sepat di sini hari ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Langat Tengku Rohana Tengku Nawawi dan Pemangku Pengarah JAPEN Selangor Herlina Ainizawati Zakaria.
PMK Tanjong Sepat 2026 yang menjadi perintis bagi 14 program itu di Selangor menawarkan pelbagai acara menarik dan perkhidmatan langsung seperti senamrobik, ceramah, pameran dan aktiviti interaktif oleh agensi kerajaan serta rakan strategik.
Antara pengisian utama ialah ceramah Tarif Elektrik dan Kecekapan Tenaga oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kempen Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pocket Talk oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Selain Jualan RAHMAH, pemberian anak pokok, ikan hiasan dan penukaran 500 topi keledar secara percuma turut disediakan kepada pengunjung.
Bersempena program itu, Borhan turut menyampaikan Bakul RAHMAH kepada 100 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Sepat bagi membantu meringankan beban mereka.
Dalam pada itu, Borhan berkata program berkenaan menjadi contoh kerjasama baik antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Dalam kita bercakap mengenai pembangunan, perkara paling penting adalah memastikan keperluan asas dan kebajikan rakyat tidak diabaikan.
“Soal kemudahan infrastruktur, peluang ekonomi, perumahan, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat perlu terus diberikan perhatian," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap PMK dapat diteruskan pada masa depan supaya lebih ramai penduduk khususnya di kawasan luar bandar mendapat akses lebih dekat dengan perkhidmatan kerajaan.
-- BERNAMA