Am 18/10/2026 07:58 PM

Kampung Manis: 227 Keluarga Ditawar Rumah Gantian

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kampung Manis: 227 Keluarga Ditawar Rumah Gantian
Datuk Seri S. Sundarajoo

BUTTERWORTH,  18 Okt (Bernama) -- Sebanyak 227 keluarga yang terlibat dalam penempatan semula Kampung Manis di sini bakal menerima kediaman gantian di bawah program Rumah MutiaraKu (RMKu), termasuk tawaran rumah percuma kepada keluarga yang layak.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S. Sundarajoo berkata persetujuan itu dimuktamadkan menerusi penyerahan dokumen persetujuan pengosongan tapak oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) kepada penduduk yang terlibat, sekali gus menyelesaikan isu penempatan di situ yang telah berlarutan lebih 70 tahun.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 174 keluarga yang masih menetap di atas tanah di situ akan menerima rumah secara percuma, manakala 53 keluarga lagi yang mempunyai kaitan dengan Kampung Manis tetapi bukan penduduk tetap ditawarkan rumah pada harga RM150,000 secara sewa beli.

"Rumah gantian percuma yang ditawarkan itu berkeluasan 850 kaki persegi, lebih besar berbanding kebiasaan rumah gantian kos rendah yang berkeluasan 650 kaki persegi dan selalunya harga jualan rumah RMKu Jenis C melalui LPNPP ialah RM250,000, tetapi nilai pasaran rumah tersebut dianggarkan antara RM350,000 hingga RM400,000.

"Ini memang berita yang cukup manis untuk penduduk Kampung Manis kerana rumah ini diberikan secara percuma kepada keluarga yang layak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian dan Penyerahan Surat Niat Kepada Penerima RMKu bagi tujuan pengosongan tapak serta penempatan semula penghuni Kampung Manis di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif RAC Datuk Azhar Ahmad.

Sundarajoo berkata projek pembangunan semula itu dijangka bermula selewat-lewatnya hujung tahun ini atau awal tahun depan, bergantung pada kelulusan pelan pembangunan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Beliau berkata pemaju diberi tempoh 24 bulan dari tarikh kelulusan pelan bangunan untuk menyiapkan projek itu dan bagi membolehkan kerja pembinaan dijalankan dengan lancar serta mengurangkan risiko kemalangan di tapak, penduduk yang perlu mengosongkan kediaman sementara akan menerima bantuan sewa bulanan RM700 daripada pihak pemaju sehingga rumah gantian mereka siap.

"Penduduk boleh mencari rumah sewa mengikut kesesuaian masing-masing dengan bantuan RM700 itu dan disediakan sepanjang tempoh menunggu kediaman baharu disiapkan. Penyelesaian ini merupakan perkembangan penting dalam menangani isu penempatan Kampung Manis yang telah berlarutan lebih 70 tahun," katanya.

Sundarajoo berkata cadangan pembangunan perumahan mampu milik itu melibatkan tanah milik RAC di sebahagian Lot 286, Lot 65 dan Lot 67, Bandar Perai, dengan keluasan keseluruhan 1.61 hektar (3.970 ekar).

Sementera itu, Chow berkata secara keseluruhan, pembangunan itu merangkumi perancangan sebanyak 338 unit kediaman untuk komuniti dan daripada jumlah tersebut, 174 unit gantian akan disediakan oleh RAC, manakala 53 unit bagi penerima tambahan akan diperuntukkan oleh LPNPP.

Beliau berkata kerajaan negeri memahami bahawa kekangan pembiayaan menjadi antara cabaran memiliki rumah, justeru Skim Sewa Beli menyediakan laluan alternatif kepada golongan yang layak untuk menyewa sebelum memiliki rumah, tertakluk pada syarat yang ditetapkan.

"Usaha ini juga selari dengan Inisiatif Strategik A1 Penang2030 yang menumpukan kemampuan dan kepelbagaian perumahan. Setakat 31 Mac, Pulau Pinang telah menyediakan 172,550 unit rumah mampu milik, bersamaan 78.43 peratus daripada sasaran 220,000 unit menjelang 2030," katanya.

Chow berkata pembangunan semula Kampung Manis turut merangkumi kondominium, pusat komersial, kemudahan pandu lalu, pangsapuri perkhidmatan serta fasiliti rekreasi seperti kolam renang, taman permainan kanak-kanak dan gimnasium.

"Kejayaan pembangunan semula Kampung Manis bukan sekadar diukur melalui perubahan fizikal, tetapi sejauh mana kita mampu memelihara kebajikan penduduk dan menyediakan kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang," katanya.

Kerjasama antara RAC dan LPNPP dimulakan susulan pemeteraian Memorandum Perjanjian pada 11 Nov 2024, sebelum perjanjian pembangunan projek dimeterai antara RAC dengan Rivanis Ventures Sdn Bhd pada 11 Jun lepas bagi membangunkan kawasan setinggan Kampung Manis yang diduduki penduduk di atas tanah kereta api milik RAC dikenali sebagai Madani Residences.

-- BERNAMA