JERTIH, 18 Okt (Bernama) -- Pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) menunjukkan impak positif apabila purata klien yang tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan pemulihan daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) meningkat kepada 232 orang sebulan sejak dikuatkuasakan pada 22 Ogos 2025, berbanding 75 orang sebelum ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata secara keseluruhan bagi tempoh sama hingga 11 Okt lepas, sebanyak 2,335 orang daripada keseluruhan 45,999 klien yang menerima perkhidmatan AADK di seluruh negara merupakan individu yang tampil mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,595 klien mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela dalam komuniti manakala 740 orang lagi di dalam institusi di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).
“Angka ini mengesahkan hipotesis kami bahawa kalau kita pinda Akta 283 ini dengan menyahjenayahkan, iaitu mereka (klien yang tampil secara sukarela) tidak akan ada rekod jenayah, ia telah membawa paradigma baharu iaitu memfokuskan rawatan dan pemulihan secara sukarela tanpa hukuman mandatori daripada mahkamah atau stigmatisasi.
“Ini kerana kalau dia (klien) ada sifat sukarela, peratusan pemulihan itu akan menjadi lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI AADK di Felda Tenang, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh.
Saifuddin Nasution turut berkata kebanyakan klien AADK secara sukarela adalah golongan remaja, sama ada yang datang dibawa oleh ibu bapa atau tampil sendiri meminta untuk dipulihkan.
Beliau berkata meskipun berlaku peningkatan klien secara sukarela, AADK sentiasa mempunyai fasiliti, dana dan petugas yang cukup bagi memastikan setiap klien mendapat rawatan dan pemulihan sewajarnya.
Dalam perkembangan sama Saifuddin Nasution berkata AADK sedang dalam proses memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebagai komitmen teguh kedua-dua pihak dalam memperkasakan usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah di lebih 300 kawasan tanah rancangan Felda di seluruh negara.
Beliau berkata kerjasama strategik tersebut bersandarkan kepada empat teras utama iaitu Pencegahan dan Kesedaran Awam, Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti, Pemberdayaan Ekonomi dan Sosial, serta Perkongsian Data dan Maklumat.
“Kita mahu cegah sebelum parah. Tidak kira Felda berada di tempat ke berapa’ (penyalahgunaan dadah), atau di kampung tradisional atau taman perumahan, pendekatan kita adalah langkah pencegahan,” katanya.
-- BERNAMA