ALOR GAJAH, 18 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengadakan pemeriksaan Internet di pusat-pusat pengundian bagi menguji sistem Optical Character Recognition-Voter Attendance (OCR-VA) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung bulan depan.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata hasil pemeriksaan itu mendapati sebuah pusat pengundian, iaitu Dewan Penyayang di Kompleks Kebajikan Lesung Batu tidak sesuai untuk menggunakan sistem OCR-VA memandangkan kemudahan Internet kurang memuaskan.
“Justeru, pusat pengundian tersebut akan dipindahkan ke Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Machap Baru,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah di Dewan Kampung Permai, Machap Umboo, yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sini hari ini.
Fairul Nizam berkata MCMC juga telah membuat laporan penuh kepada SPR mengenai tahap capaian Internet di pusat-pusat pengundian itu bagi memudahkan pengurusan pada hari mengundi.
“Saya yakin dan percaya SPR cukup bersedia untuk menggunakan sistem berkenaan pada hari pengundian nanti dengan dibantu oleh MCMC,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan sistem OCR-VA akan digunakan lebih meluas pada PRN Melaka kali ini, bertujuan merekod dan menandakan kehadiran pengundi secara automatik melalui pengimbasan maklumat pada dokumen pengenalan diri.
Ia sekali gus mempercepat proses semakan dan rekod kehadiran, mengurangkan kesilapan penandaan manual serta meningkatkan kecekapan petugas serta proses pada hari mengundi.
Projek rintis bagi penggunaan sistem berkenaan diperkenalkan pada PRN Negeri Sembilan yang lepas.
SPR sebelum ini menetapkan hari mengundi bagi PRN Melaka pada 14 Nov, manakala penamaan calon 31 Okt dan undi awal 10 Nov.
-- BERNAMA