KUDAT, 18 Okt (Bernama) -- Angka 11.4 peratus kesiapan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini bukan cerminan sebenar kepada kemajuan kerja fizikal keseluruhan projek di tapak binaan, tegas Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata peratusan berkenaan hanya mengukur bilangan pakej yang telah diserah milik sepenuhnya, iaitu cuma empat daripada keseluruhan 35 pakej di bawah Fasa 1 projek lebuh raya berkenaan.
“Walaupun angka 11.4 peratus itu betul dari segi pakej yang telah diserahkan, ia tidak menggambarkan kemajuan menyeluruh kerana pakej-pakej lain sedang giat dibina dengan sebahagian jajaran mencatatkan kemajuan fizikal antara 90 hingga 93 peratus.
“Kerja pembinaan di lapangan terus menunjukkan perkembangan positif dengan lapan pakej sepanjang 179 kilometer (km) dicadangkan untuk dibuka kepada pengguna jalan raya secara berperingkat sebelum penghujung 2026,” katanya ketika ditemui di sela-sela Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah di sini hari ini.
Dr Joachim, ketika menyentuh isu Arahan Perubahan Kerja (VO) yang dilaporkan mencecah lebih RM514 juta berkata kelulusan kos tambahan itu terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kewangan Persekutuan, bukannya di peringkat negeri.
Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah hanya bertindak sebagai agensi pelaksana teknikal yang tidak mempunyai kuasa dalam menentukan kelulusan VO berkenaan.
Menurut Dr Joachim, keperluan VO dipengaruhi oleh faktor teknikal sebenar seperti ketidaktentuan topografi muka bumi Sabah yang berbukit membabitkan isu kestabilan cerun serta struktur tanah paya dan gambut yang berubah-ubah bagi setiap selang satu hingga 1.5 km.
“Kerajaan negeri menerima teguran audit itu secara positif dan telah bertindak menanganinya, disokong oleh hubungan kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang kini berada pada tahap terbaik,” katanya.
Dr Joachim ketika mengulas cabaran kelewatan projek berkata pelaksanaan LPB Sabah terjejas susulan penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) sebelum ini yang menyebabkan pelaksanaan terpaksa beralih kepada kaedah konvensional serta bergantung kepada kelulusan peruntukan tahunan Persekutuan.
“Selain impak pandemik COVID-19 pada 2021, kebanyakan pelantikan kontraktor bagi pakej-pakej baharu hanya dapat dimuktamadkan antara Februari 2024 hingga Januari 2026 selepas Kerajaan Persekutuan membuat pertimbangan semula terhadap kaedah pelaksanaannya.
“Kelewatan turut berpunca daripada proses pengambilan tanah yang memakan masa kerana kerajaan tidak bersikap drakonian, sebaliknya memberi ruang rayuan pampasan kepada pemilik tanah, di samping mengakui wujud cabaran berkaitan prestasi segelintir kontraktor,” katanya.
-- BERNAMA