MACHANG, 17 Okt (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membangunkan ibu pejabat polis baharu bagi Kontinjen Kelantan di Tunjong di sini, dengan proses pemilihan syarikat pelaksana kini sedang dimuktamadkan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Ketua Setiausaha KDN Datuk Dr Awang Alik Jeman sedang menguruskan proses berkenaan bagi menentukan syarikat yang akan melaksanakan projek itu.
Beliau berkata pembangunan ibu pejabat berkenaan merupakan antara projek KDN di Kelantan dan tidak termasuk projek tebatan banjir serta bekalan air bersih yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jadi, Alhamdulillah, sama ada projek kementerian ataupun projek kerajaan pusat, Kelantan tetap satu negeri yang sentiasa mendapat perhatian daripada Perdana Menteri,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI KDN Tahun 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.
-- BERNAMA