Am 17/10/2026 11:09 PM

Inisiatif Bersepadu Program Sentuhan Kasih Rakyat Pastikan Masyarakat Luar Bandar Tidak Tercicir

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Inisiatif Bersepadu Program Sentuhan Kasih Rakyat Pastikan Masyarakat Luar Bandar Tidak Tercicir
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima pada Program Sentuhan Kasih Rakyat di Dataran Tomborungos Kudat. Turut sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

KUDAT, 17 Okt (Bernama) -- Inisiatif bersepadu dalam Program Sentuhan Kasih Rakyat memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman tidak tercicir daripada menerima perkhidmatan terbaik kerajaan. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata program berkonsepkan “empat dalam satu” itu menjadi pusat sehenti yang menghimpunkan sebanyak 34 agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri di bawah inisiatif Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS).

Beliau berkata pada program di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor hari ini, ia bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk luar bandar dan pedalaman, malah menyelesaikan isu kekangan logistik bagi urusan rasmi yang lazimnya memerlukan mereka ke pusat bandar atau pejabat berasingan.

"Dengan adanya pendekatan sebegini, kita memberikan ruang kepada rakyat untuk mendapatkan akses terus kepada agensi kerajaan yang penting pada satu masa dan lokasi, terutamanya jabatan yang tidak mempunyai pejabat cawangan fizikal pada peringkat daerah," katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis penutupan program itu yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Armizan berkata inisiatif berkenaan mendapat sambutan amat menggalakkan apabila orang ramai mula membanjiri tapak program seawal 8 pagi, meskipun kaunter perkhidmatan dijadualkan dibuka pada 11 pagi.

"Antara tumpuan utama pengunjung ialah perkhidmatan pantas kaunter Jabatan Tanah dan Ukur (JTU NIC), yang membolehkan penduduk menyemak serta mengemas kini kesilapan butiran nama dan nombor kad pengenalan pada geran tanah secara percuma dalam tempoh maksimum satu jam," katanya.

Selain itu, perkhidmatan pengesahan dokumen rasmi disediakan secara percuma oleh barisan sukarelawan Jaksa Pendamai menerusi Majlis Jaksa Pendamai Sabah (MAJAPS), sekali gus meringankan perbelanjaan penduduk yang kebiasaannya perlu membayar yuran khidmat Pesuruhjaya Sumpah.

Menyentuh usaha membasmi kemiskinan, Armizan berkata program itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk mengumpul serta mengemas kini profil penerima Program Syukur bagi menyusun pelan intervensi berkesan, dengan data terkini kerajaan negeri merekodkan 14,001 Ketua Isi Rumah (KIR) di seluruh Parlimen Kudat menerima bantuan Program Syukur sebanyak RM200 sebulan.

"Bagi penerima di DUN Tanjong Kapor, mereka hadir bukan sahaja untuk menerima bantuan secara serentak bagi tempoh tiga bulan berjumlah RM600, malah data mereka diteliti bagi memantau tahap perubahan sosioekonomi masing-masing demi mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Program bersepadu itu turut diserikan dengan penganjuran Program Jualan Rahmah Madani bagi mengurangkan beban kos sara hidup, selain Karnival Jom Malaysia (Jom Beli Produk Tempatan) bagi memperluas ruang promosi serta pasaran produk keluaran komuniti setempat.

Armizan berharap model inisiatif bersepadu itu dapat diperluas ke kawasan-kawasan DUN luar bandar dan pedalaman lain di seluruh Sabah bagi merapatkan jurang capaian perkhidmatan, serta memberikan ruang kepada rakyat bersemuka terus dengan barisan kepimpinan kerajaan.

-- BERNAMA