KOTA BHARU, 17 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 49 tahun yang ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai membawa 20 ekor lembu yang disyaki diseludup dari Thailand mendakwa menerima upah kira-kira RM150 bagi setiap penghantaran.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata suspek, yang ditahan dalam operasi oleh Strike Force Batalion 9 PGA dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan di Jalan Lubuk Kawah di Pasir Mas pada 11.30 malam tadi, mendakwa telah bekerja dengan seorang majikan sejak setahun lepas.
“Pemeriksaan terhadap lori yang dipandunya menemukan 20 ekor lembu namun pemandu gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan pemindahan ternakan berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek memaklumkan bahawa lembu berkenaan diambil dari Kampung Tok Rusa sebelum dihantar ke kandang di Lubok Jong, Pasir Mas.
Ahmad Radzi berkata lembu berkenaan dirampas kerana disyaki diseludup dari Thailand menerusi jalan yang tidak diwartakan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 manakala tangkapan dan rampasan diserahkan kepada JPV Kelantan untuk tindakan lanjut,” kata beliau sambil menambah PGA akan terus mempergiat rondaan, pemeriksaan dan pemantauan bagi membanteras kegiatan penyeludupan ternakan dari Thailand melalui pangkalan haram serta laluan tidak diwartakan di kawasan tanggungjawabnya.
-- BERNAMA