Am 17/10/2026 09:51 PM

GTEF 2026 Perkasa Pelancongan Mampan, kemakmuran Komuniti 

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
GTEF 2026 Perkasa Pelancongan Mampan, kemakmuran Komuniti 
kredit: MOTAC

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Malaysia menegaskan semula komitmen untuk membangunkan sektor pelancongan yang mampan dan berdaya tahan yang melindungi warisan alam semula jadi serta budaya, memperkukuh mata pencarian penduduk tempatan selain memberikan manfaat ekonomi jangka panjang.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan memaklumkan Timbalan Menteri Chiew Choon Man yang mewakili Malaysia pada Forum Ekonomi Pelancongan Global (GTEF) ke-12 di Macao dari 16 hingga 17 Okt, menegaskan bahawa kejayaan sektor pelancongan bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah ketibaan pelawat dan penerimaan hasil, tetapi manfaat untuk rakyat dan komuniti.

Bertemakan “Crisis·Resilience·Evolution-Building a Tourism Economy for a Shared Future”, forum itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, wakil industri dan organisasi antarabangsa untuk membincangkan cabaran pelancongan global serta membentuk sektor yang lebih berdaya tahan.

Ketika berucap pada sesi panel peringkat tinggi bertajuk “The Road to 2027: Building a Resilient Tourism Economy”, Chiew mengetengahkan pendekatan Malaysia dalam menyelaraskan pertumbuhan pelancongan dengan pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan budaya dan peluang ekonomi yang inklusif.

Beliau berkata berpandukan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Malaysia terus memajukan pelancongan berasaskan alam semula jadi dan komuniti, di samping menawarkan pengalaman kebudayaan yang membuka peluang pekerjaan, menyokong perusahaan tempatan serta meningkatkan penghayatan terhadap warisan negara.

Chiew berkata aspek kemampanan kekal sebagai teras kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, dengan tanggungjawab menjaga alam sekitar digalas bersama oleh kerajaan, pemain industri, komuniti dan pelawat.

“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, pelaburan kerajaan dalam pemuliharaan tapak warisan UNESCO dan hutan simpan membantu melindungi khazanah ini untuk generasi akan datang, di samping menyokong nilai pelancongannya dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata kepelbagaian budaya Malaysia turut menjadi asas kukuh bagi pengalaman pelancongan yang menjana pendapatan dan menggalakkan penyertaan penduduk tempatan.

Program Pengalaman Homestay Malaysia misalnya, memperlihatkan bagaimana pelancongan yang diterajui komuniti menyokong mata pencarian penduduk luar bandar, di samping menawarkan pengalaman budaya asli kepada pelancong. 

“Setakat Ogos 2026, program itu merekodkan 584,000 kunjungan dan menjana pendapatan sebanyak RM41.14 juta (USD10.06 juta), sekali gus mencerminkan sumbangannya kepada ekonomi tempatan,” kata Chiew.

Beliau berkata Malaysia akan terus mengusahakan pertumbuhan pelancongan yang memberikan nilai jangka panjang, meluaskan peluang ekonomi dan memastikan komuniti tempatan turut menikmati manfaat daripada kejayaan sektor berkenaan.

Sesi panel itu turut menampilkan Timbalan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan Kim Dae-hyun, Ketua Pegawai Eksekutif EXO Travel Group Hamish Keith dan Ketua Pegawai Eksekutif Shanghai Jinjiang International Hotels Co Ltd Mao Xiao.

Ditubuhkan pada 2012, GTEF menggalakkan pembangunan pelancongan global yang mampan serta kerjasama antarabangsa dengan China.

Sepanjang 11 edisi terdahulu, forum itu telah menarik lebih 15,500 perwakilan dari 88 negara dan wilayah, selain menampilkan lebih 780 penceramah.

-- BERNAMA