Am 17/10/2026 06:40 PM

Lebih 2,000 Kunjungi PMK Kepayang, Dekati Perkhidmatan Langsung Agensi Kerajaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lebih 2,000 Kunjungi PMK Kepayang, Dekati Perkhidmatan Langsung Agensi Kerajaan
fb Erwin Khairul Ahmad

IPOH, 17 Okt (Bernama) -- Lebih 2,000 pengunjung menghadiri Program MADANI Kita (PMK) Kepayang 2026 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Perak yang melibatkan 60 pempamer daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi berkata program bertemakan “Memaknai Harapan Rakyat” itu bukan sahaja menghimpunkan pelbagai perkhidmatan di satu lokasi, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami dasar dan inisiatif kerajaan.

“Kita anjur program ini melalui pendekatan yang lebih santai, dekat dan mudah difahami untuk rakyat mendekati perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat,” katanya selepas merasmikan Program MADANI Kita (PMK) Kepayang 2026 di Dewan Greentown, di sini hari ini.

PMK Kepayang 2026 yang dilaksanakan dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Pejabat Perdana Menteri menawarkan pelbagai acara menarik dan perkhidmatan langsung kepada rakyat termasuk Jualan RAHMAH, Jualan Agro MADANI, pameran dan kaunter perkhidmatan kerajaan, taklimat isu semasa, penukaran topi keledar, saringan kesihatan dan pergigian, penukaran minyak enjin motosikal serta perkhidmatan gunting rambut secara percuma.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna dan pertandingan nyanyian Bintang Kecil, selain kuiz kenegaraan, pertandingan gubahan bunga dan pulut kuning serta acara cabutan bertuah.

Bersempena dengan program itu, Mohd Azlan turut menyampaikan Bakul RAHMAH yang mengandungi bahan makanan dan barangan keperluan asas kepada 100 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri Kepayang bagi membantu meringankan beban mereka.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata kerajaan negeri memberikan penekanan terhadap usaha memperkasakan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan perindustrian strategik yang dirancang secara bersepadu bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Perak.

Kawasan tumpuan itu merangkumi Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) dan Perak Halal Industrial Park (Perak HIP) di Manjung, selain Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Kerian, Silver Valley Technology Park (SVTP) Chemor serta Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim.  

Beliau berkata langkah memperkukuh infrastruktur perhubungan di kawasan berkenaan akan dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Liputan dan Talian Telekomunikasi Negeri Perak (J-PILL) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

“Menerusi jawatankuasa ini, kami memberikan tumpuan penuh kepada usaha memperkasakan liputan telekomunikasi khususnya menerusi pelaksanaan rangkaian fiber optik di kawasan strategik berkenaan.

 "Bagi memastikan inisiatif ini direalisasikan, kita akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan berjumlah RM350 juta yang diumumkan Perdana Menteri kepada MCMC bagi memperkukuh jaringan telekomunikasi menerusi Belanjawan 2026,” katanya.

Selain itu, pihaknya komited memastikan masyarakat Orang Asli di seluruh negeri tidak terpinggir daripada arus pembangunan digital menerusi pemerkasaan berterusan jaringan telekomunikasi di penempatan mereka.

Beliau berkata kekangan utama yang dihadapi komuniti berkenaan pada masa ini tidak lagi berkisar pada soal ketiadaan akses talian, sebaliknya tertumpu kepada tahap kualiti capaian serta kestabilan liputan yang agak lemah di sesetengah lokasi terpencil.

“Sebagai contoh, kita bersama-sama MCMC akan mengadakan lawatan kerja ke perkampungan Orang Asli di Pos Kemar, Gerik pada 26 Okt ini, bagi meninjau sendiri situasi di lapangan, sekali gus menilai secara terperinci tahap capaian serta langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan," katanya.

-- BERNAMA