Dunia 17/10/2026 03:42 PM

Lebih 90 Peratus Semenanjung Gaza Musnah Selepas Tiga Tahun Genosid

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lebih 90 Peratus Semenanjung Gaza Musnah Selepas Tiga Tahun Genosid
Wanita dan kanak-kanak Palestin menyaksikan Kejohanan Orang Kuat Palestin dari celah runtuhan bangunan yang musnah di Bandar Gaza pada Jumaat, 16 Okt 2026. (AP Photo/Jehad Alshrafi)

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Lebih 90 peratus Semenanjung Gaza dilaporkan mengalami kemusnahan akibat serangan berterusan Israel sepanjang tiga tahun sejak 7 Okt 2023, dengan lebih 2.4 juta penduduk terkesan akibat genosid, pencerobohan dan pembersihan etnik.

Menurut laporan Pejabat Media Kerajaan Gaza yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), sekurang-kurangnya 74,250 rakyat Palestin terbunuh termasuk 21,976 kanak-kanak, manakala 9,500 lagi dilaporkan hilang di bawah runtuhan bangunan.

Laporan itu mendedahkan bahawa lebih 230,000 tan bahan letupan telah digugurkan di Semenanjung Gaza, manakala lebih 80 peratus wilayah berkenaan berada di bawah kawalan Israel yang melakukan pencerobohan darat, serangan ketenteraan dan pemindahan paksa.

Kawasan Al-Mawasi yang sebelum ini didakwa "zon selamat" turut dilaporkan menjadi sasaran serangan sebanyak 287 kali.

Angka korban turut merangkumi 1,723 kakitangan perubatan, 149 anggota pertahanan awam, 262 wartawan, lebih 194 kakitangan pihak berkuasa tempatan serta lebih 2,800 anggota polis dan kakitangan yang terlibat dalam penyampaian bantuan kemanusiaan.

Selain itu, sekurang-kurangnya 928 ahli komuniti sukan dilaporkan terbunuh, manakala lebih 39,022 keluarga terjejas akibat pembunuhan beramai-ramai, termasuk lebih 2,700 keluarga yang kehilangan seluruh ahli keluarga sehingga nama mereka terhapus daripada daftar penduduk.

Dalam sektor kesihatan, seramai 175,278 orang dilaporkan cedera dan menerima rawatan di hospital, manakala lebih 5,400 kes amputasi direkodkan, dengan 18 peratus daripadanya melibatkan kanak-kanak.

Laporan itu turut merekodkan 1,500 kes lumpuh, 1,200 kes kehilangan penglihatan dan lebih 71,338 kes hepatitis.

Sistem kesihatan Gaza juga dilaporkan mengalami kemusnahan serius apabila 38 hospital dan 96 pusat penjagaan kesihatan primer musnah atau tidak lagi berfungsi akibat serangan Israel, selain kerosakan terhadap ambulans dan jentera pemadam kebakaran.

Dalam sektor pendidikan, sebanyak 97 peratus sekolah mengalami kerosakan fizikal, manakala 87 peratus bangunan sekolah memerlukan pembinaan semula. Sebanyak 17 institusi pengajian tinggi pula musnah sepenuhnya atau sebahagiannya.

Kemusnahan turut melibatkan tempat ibadat, tanah perkuburan dan kemudahan awam lain.

Menurut laporan itu, Israel melaksanakan penutupan sepenuhnya lintasan sempadan Gaza selama lebih 650 hari, selain menghalang kemasukan lebih 500,000 trak bantuan kemanusiaan dan bahan api, sekali gus memburukkan krisis kebuluran yang mengancam nyawa penduduk.

Bagi sektor perumahan, sebanyak 227,703 bangunan dilaporkan musnah sepenuhnya, manakala 410,000 bangunan dan unit kediaman musnah atau tidak lagi sesuai didiami.

Lebih 350,000 keluarga memerlukan tempat perlindungan, dengan lebih dua juta penduduk dipindahkan secara paksa, manakala 346 pusat perlindungan dan penempatan pelarian dilaporkan menjadi sasaran pengeboman Israel.

Kerosakan infrastruktur pula melibatkan telaga dan kemudahan bekalan air, rangkaian elektrik, sistem pembetungan, jalan raya serta tapak arkeologi.

Sektor pertanian turut terjejas apabila 87 peratus tanah pertanian musnah, selain kemusnahan 9,992 ladang ternakan dan lebih 69,000 haiwan ternakan.

Sebanyak 90 peratus sektor akuakultur dan perikanan laut juga dilaporkan mengalami kemusnahan.

Pejabat Media Kerajaan Gaza menganggarkan kerugian langsung awal merentasi 15 sektor utama iaitu melebihi US$80 bilion, dengan sektor perumahan mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak US$34 bilion.

Sektor kesihatan dan perkhidmatan awam masing-masing mencatatkan kerugian US$6 bilion, manakala sektor komersil, isi rumah, pertanian dan pendidikan turut mengalami kerugian berbilion dolar.

Sementara itu, PCOM memaklumkan penerbitan laporan dalam bahasa Melayu bertujuan menyalurkan maklumat yang sahih, tepat dan komprehensif kepada masyarakat serta pihak berkepentingan di Malaysia dan rantau ini mengenai penderitaan rakyat Palestin.

-- BERNAMA