IPOH, 17 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki terselamat selepas kereta dipandunya dihempap dahan pokok di hadapan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Kangsar, pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.57 pagi.
“Tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar yang tiba di lokasi kejadian mendapati dahan daripada sebatang pokok dianggarkan berusia lebih 50 tahun telah jatuh dan menghempap sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
“Pemandu kereta iaitu lelaki berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah keluar dari kenderaan itu sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kejadian berlaku dalam keadaan cuaca baik dan pasukan bomba membuat pemotongan pokok menggunakan gergaji berantai hingga selesai.
Operasi tamat sepenuhnya pada 9.20 pagi.
-- BERNAMA