KOTA BHARU, 16 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan pihak lain dalam kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi, susulan rampasan 4,127 kilogram (kg) barangan kawalan itu di Kampung Chetok, Pasir Mas, semalam.
Pengarah KPDN Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata siasatan dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan wujud kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi untuk tujuan menyalahi undang-undang.
Dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) pada 8 malam itu, KPDN Kelantan menyita minyak masak bersubsidi bernilai RM11,053.50 serta lima kenderaan, menjadikan nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM138,053.50.
"Operasi oleh Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) KPDN Kelantan dengan kerjasama Unit Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas itu menghasilkan dua kes berasingan.
"Kes pertama membabitkan sitaan 1,577 kg minyak masak bersubsidi pelbagai jenama bersama sebuah Toyota Unser, Mitsubishi Pajero dan Nissan Navara, dengan nilai keseluruhan RM70,678.50,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat KPDN Kelantan, di sini hari ini.
Beliau berkata kes kedua pula melibatkan sitaan 2,550 kg minyak masak bersubsidi bersama sebuah Toyota Hiace dan Mitsubishi Pajero, dengan nilai keseluruhan RM67,375.
"Minyak masak yang dirampas terdiri daripada paket satu kilogram pelbagai jenama serta minyak masak dalam botol lima kilogram daripada syarikat tempatan di Kelantan dan luar negeri.
"Sebelum ini, kegiatan mengumpul bekalan minyak masak bersubsidi daripada pemborong sebelum menyimpannya di lokasi tertentu dipercayai menjadi modus operandi pihak terbabit,” katanya.
Hanif berkata tindakan turut diambil terhadap individu yang dikaitkan dengan kedua-dua kes berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 dan Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, berkaitan pemilikan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan, pemindahan barang kawalan ke tempat yang tidak dilesenkan dan penjualan borong barang kawalan tanpa lesen sah.
Beliau berkata KPDN Kelantan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan, khususnya di kawasan bersempadan, bagi membanteras penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi serta memastikan bekalan berkenaan tidak disalahgunakan.
-- BERNAMA