Oleh Mohd Afiq Zulkifli & Mohd Basir Roslan
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Peluasan akses kecerdasan buatan (AI) dan liputan Internet menerusi Belanjawan 2027 perlu disertai dengan latihan praktikal, bimbingan pelaksanaan serta perkhidmatan berkualiti bagi memastikan rakyat dan perniagaan memperoleh manfaat sebenar pendigitalan.
Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) Alex Liew berkata tambahan 100,000 langganan AI percuma serta dana Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebanyak RM30 juta untuk membantu 4,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerapkan AI dan automasi boleh mengurangkan halangan kos serta mempercepat penggunaan teknologi itu.
"Bagaimanapun, langganan percuma perlu dilihat sebagai pintu masuk. Produktiviti hanya meningkat apabila AI digunakan untuk menyelesaikan masalah perniagaan yang jelas dan disepadukan dalam proses kerja.
"Halangan utama ialah kekurangan pengetahuan untuk memilih kegunaan AI yang sesuai, data yang tidak tersusun, kekangan masa dan tenaga kerja, serta kos mengintegrasikan penyelesaian dengan sistem sedia ada. Banyak perusahaan kecil juga memerlukan panduan mengenai kerahsiaan data pelanggan, keselamatan siber dan cara menyemak ketepatan hasil AI," katanya kepada Bernama.
Liew mencadangkan latihan praktikal mengikut sektor serta bimbingan susulan selama tiga hingga enam bulan, dengan keberhasilan dinilai berdasarkan masa pemprosesan pesanan, tempoh menjawab pelanggan, kadar kesilapan, kos operasi dan perubahan jualan.
Sementara itu, Pengarah Pusat Teknologi Digital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mohamad Hanif Md Saad mencadangkan latihan AI berstruktur diwajibkan sebagai syarat sebelum akses percuma atau tajaan diberikan, meliputi asas AI generatif, kemahiran membina arahan serta etika penggunaan termasuk keselamatan data, privasi dan hak cipta.
Beliau berkata langkah itu dapat memastikan akses berkenaan diberikan kepada pengguna yang akan memanfaatkan tajaan kerajaan sepenuhnya.
“Satu hakikat penting yang perlu ditekankan ialah AI bertindak sebagai pembantu produktiviti, bukannya pengganti kepada kepakaran manusia,” katanya.
Mohamad Hanif berkata pengguna perlu mempunyai pengetahuan asas bidang berkaitan untuk mengesan kesilapan jawapan AI, manakala PMKS boleh memanfaatkan teknologi itu bagi penjanaan dokumen dan bahan pemasaran serta automasi pertanyaan dan pemprosesan dokumen pelanggan.
Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) Yap Yoke Har pula berkata peluasan liputan Internet ke kampung Orang Asli dan kawasan kurang mendapat perkhidmatan penting untuk merapatkan jurang digital, dengan keterhubungan perlu berkualiti, stabil, mampu dibayar dan selamat tanpa mengira lokasi atau latar belakang pengguna.
Yap berkata kategori aduan terbesar yang diterima CFM ialah berkaitan bil dan caj akibat ketiadaan perkhidmatan atau kualiti perkhidmatan kurang memuaskan, dan pihaknya yakin inisiatif peluasan liputan itu dapat mengurangkan aduan pengguna.
Beliau berkata CFM akan terus memperkasakan pengguna melalui pendidikan tentang hak, tanggungjawab dan saluran aduan, selain menyokong Kempen Internet Selamat serta memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan dan penyedia perkhidmatan bagi mendekati lebih ramai komuniti.
Dalam pada itu, Pegawai Teknologi Sinar Project, sebuah inisiatif teknologi sivik Malaysia yang memperjuangkan ketelusan dan hak digital, Siti Nurliza Samsudin berkata kejayaan inisiatif digital dan AI kerajaan perlu diukur berdasarkan keberkesanannya menyelesaikan masalah yang disasarkan, bukan jumlah pengguna semata-mata.
“Bagi Platform Rakyat Digital, misalnya, penilaian boleh melihat sama ada pengguna muda memperoleh peluang pekerjaan atau pendidikan yang lebih baik, manakala bagi PMKS, ukuran boleh merangkumi sama ada penggunaan AI membantu meningkatkan keuntungan dan menyokong kelangsungan perniagaan,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan tadbir urus data yang menyeluruh, termasuk pelaporan kejadian ketirisan data dan pemakluman segera kepada pengguna terjejas supaya mereka dapat mengambil langkah perlindungan.
-- BERNAMA