PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Persiapan awal bagi penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2028 akan dimulakan pada Januari 2027, termasuk meneliti cadangan penambahbaikan yang dikemukakan menerusi sesi pascanilai bagi memastikan setiap perbelanjaan kerajaan memberikan pulangan yang setimpal.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kesiapsiagaan tapak penganjuran MAHA juga perlu dipertingkatkan supaya kemudahan yang disediakan dapat beroperasi pada tahap optimum.
“Kerjasama antara agensi pertanian dengan kementerian lain, kerajaan negeri, pemain industri, pihak berkepentingan dan rakan antarabangsa juga perlu diperluas bagi memastikan manfaat penganjuran MAHA dapat dirasai secara lebih meluas serta menyumbang kepada pembangunan sektor agromakanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi MAHA 2026 hari ini, yang turut menghimpunkan pihak yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran acara berkenaan.
MAHA 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept lepas mencatatkan kehadiran lebih lima juta pengunjung, dengan nilai jualan melebihi RM73 juta serta pemeteraian 97 memorandum persefahaman (MoU) bernilai lebih RM10.35 bilion, sekali gus mengatasi sasaran yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata penglibatan dua juta belia sepanjang MAHA 2026 turut menjadi petunjuk positif terhadap masa depan sektor agromakanan negara.
“Justeru, program keusahawanan belia dan bimbingan oleh peneraju industri yang diperkenalkan semasa pameran itu perlu diteruskan bagi menggalakkan penyertaan golongan muda dalam sektor berkenaan,” katanya.
Mengulas mengenai aspek perdagangan antarabangsa, Mohamad berkata Malaysia perlu memperkukuh hubungan pertanian dengan negara-negara Afrika serta meneroka peluang kerjasama lebih luas dengan negara Asia Tengah, khususnya dalam perdagangan produk pertanian.
Beliau berkata usaha meningkatkan penggunaan produk makanan tempatan bagi memenuhi keperluan domestik dan pasaran eksport turut menjadi tumpuan kerajaan.
Katanya, eksport makanan negara meningkat lebih RM5 bilion pada 2024 dan terus menunjukkan perkembangan positif, walaupun import makanan serta bahan yang digunakan dalam pengeluaran makanan masih melebihi RM90 bilion.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata agensi berkaitan perlu meningkatkan keupayaan dalam penyelidikan, pemasaran dan pengkomersialan bagi memperkukuh daya saing produk pertanian tempatan.
Antara agensi berkenaan ialah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Mohamad berkata kerajaan akan berusaha menambah peruntukan dari semasa ke semasa bagi menyokong keperluan agensi terbabit, terutama dalam penyelidikan yang mampu memberikan manfaat ekonomi dalam jangka panjang.
Beliau berkata hasil penyelidikan yang berjaya dikomersialkan boleh menjana keuntungan dalam jangka panjang dan membantu meningkatkan eksport produk pertanian serta makanan negara.
-- BERNAMA