KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Isu pendidikan melibatkan aspek disiplin dan keselamatan pelajar, kualiti pengajaran serta pemerkasaan pendidikan kemahiran menjadi tumpuan pada penghujung minggu pertama sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Lim Guan Eng (PH-Bagan) dalam perbahasannya mencadangkan supaya penggunaan rotan di sekolah kembali diperluas sebagai antara langkah menangani masalah disiplin dan buli, selain disertai pemeriksaan psikologi secara berkala terhadap guru yang ditugaskan melaksanakan hukuman berkenaan.
“Mengapa pada zaman sekolah kami dahulu pada 1970-an, merotan dibenarkan secara meluas, tidak ada kes bunuh atau rogol berlaku seperti sekarang? Malah, tidak ada kesan psikologi negatif ke atas pelajar dan ramai daripada mereka yang berjaya serta masyhur,” katanya.
Beliau turut mengesyorkan peruntukan kecemasan bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lebih 10,000 sekolah kerajaan di seluruh negara, selain pembentukan sistem sokongan antibuli dan antigangguan seksual yang menyeluruh, termasuk meningkatkan rondaan keselamatan serta program libat urus bersama pelajar dan ibu bapa.
Senada dengan Lim, Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) menegaskan isu keselamatan dan gejala buli di sekolah tidak boleh dipandang ringan dan mencadangkan peruntukan khas bagi melatih guru mengenal pasti tanda awal tekanan emosi dan potensi keganasan dalam kalangan murid.
Beliau turut menggesa setiap sekolah dilengkapi bilangan kaunselor mencukupi serta program penilaian psikologi berstruktur bagi membolehkan intervensi awal dilaksanakan.
Isu berkaitan pendidikan turut dibangkitakan beberapa Ahli Parlimen lain antaranya Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah), William Leong Jee Keen (PH-Selayang) dan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang antara lain menggesa pendidikan Tingkatan Enam diperkasakan sebagai laluan akademik ke universiti dan tidak dianggap sebagai pilihan terakhir.
Mengenai pendidikan kemahiran, Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) menggesa kerajaan memperluas akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada belia luar bandar, khususnya di Sarawak, dengan program latihan yang diselaraskan mengikut keperluan sebenar industri dan pasaran pekerjaan.
“Peluang latihan kemahiran ini tidak sepatutnya tertumpu di bandar-bandar besar sahaja. Anak-anak muda di luar bandar dan di Sarawak mesti juga diberikan peluang sama rata untuk belajar dan mendapatkan pekerjaan yang lebih baik,” katanya.
Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) turut bersetuju supaya TVET diperluas ke luar bandar bagi memberi peluang kepada lebih 50,000 pelajar yang tidak layak memperoleh sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun kerana gagal dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah.
Datuk Ali anak Biju (PN-Saratok) pula meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mempercepat pembangunan infrastruktur pendidikan di luar bandar Sarawak bagi memastikan kemudahan pembelajaran yang selamat dan berkualiti dapat dinikmati murid, khususnya di kawasan pedalaman.
Mengambil contoh kelewatan projek pembinaan gantian penuh Sekolah Kebangsaan Abang Leman di Kabong, beliau berkata tindakan lebih tegas perlu dikenakan terhadap kontraktor yang gagal memenuhi jadual pelaksanaan projek bagi mengelakkan projek itu menjadi projek gajah putih.
-- BERNAMA