Am 15/10/2026 04:30 PM

Raja Muda Selangor Hadiri Persidangan Kepimpinan Perlindungan Kanak-kanak

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Raja Muda Selangor Hadiri Persidangan Kepimpinan Perlindungan Kanak-kanak
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tengah) berkenan bergambar pada Majlis National Child Protection Leadership Conference 2026 di Pusat Belia Antarabangsa hari ini.

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat menghadiri Persidangan Kebangsaan Kepimpinan Perlindungan Kanak-Kanak 2026 di Pusat Belia Antarabangsa di sini.

Tengku Amir Shah, yang juga Penaung Diraja Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia (CPSM), hadir ke persidangan itu sebagai tanda sokongan terhadap usaha pertubuhan berkenaan dalam membangunkan dasar perlindungan kanak-kanak.

Baginda diiringi Presiden CPSM Datuk Seri Nazir Ariff, Pengerusi CPSM Cawangan Kuala Lumpur Tengku Datuk Asra Jehan Tengku Azlan dan Timbalannya, Nawiza Hanoum Nazir Ariff.

Sementara itu, Nawiza Hanoum berkata persidangan berkenaan menghimpunkan pihak berkepentingan daripada sektor kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dari negara-negara ASEAN bagi berkongsi pandangan serta kepakaran dalam memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak.

“Setiap NGO mempunyai kepakaran tersendiri dalam menangani isu kanak-kanak sama ada dari segi pendidikan, kebajikan, kesihatan atau perundangan namun kebanyakan mereka bergerak secara solo.

“Melalui persidangan ini, kita dapat menghimpunkan NGO dan pertubuhan berkaitan untuk membina jaringan kerjasama supaya apabila berdepan isu di luar kepakaran sendiri, kita tahu pihak yang boleh dirujuk dan bekerjasama bagi membantu kanak-kanak yang memerlukan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata hasil perbincangan dalam persidangan itu akan dikemuka kepada kerajaan sebagai cadangan untuk menambah baik dasar perlindungan kanak-kanak negara.

Persidangan dua hari itu, yang menghimpunkan lebih 70 peserta, membawa tema The Best Interests of the Child dengan tumpuan kepada empat tonggak utama iaitu Protect, Empower, Educate dan Report bagi memperkukuh usaha perlindungan kanak-kanak.

-- BERNAMA