KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Inisiatif kerajaan menanggung sepenuhnya caj perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) bermula bulan ini mendapat reaksi positif warga maya yang menyifatkan ia bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan, malah menamatkan kesukaran pesakit beratur panjang semata-mata untuk mengambil ubat.
Tinjauan Bernama mendapati rata-rata pengguna media sosial menyambut baik kemudahan itu kerana penjimatan kos penghantaran berkenaan memberi kelegaan kewangan yang nyata, khususnya bagi pesakit kronik dan warga emas yang memerlukan rawatan susulan berterusan.
Seorang pengguna aplikasi Threads, Ms Anina (@aninawatibakarudin) berkongsi pengalamannya yang sebelum ini membelanjakan RM5.60 bagi setiap sesi penghantaran, menyifatkan pemansuhan caj terbabit memberi impak penjimatan yang besar dalam jangka panjang.
“Selalu saya bayar RM5.60 untuk penghantaran ubat ini. Sekali tiba-tiba sampai ubat dan tulis begini (Caj Penghantaran Ubat Ini Ditanggung Oleh Kerajaan MADANI). Alhamdulillah. Terima kasih Kerajaan MADANI, terima kasih PMX! RM5.60 itu nampak kecil tetapi kalau 10 kali sudah jadi RM56.00. Dahlah ubat pun percuma,” katanya.
Neeza Shafri (@nz.s_tanje) yang melanggan perkhidmatan pos ubat dari Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang sejak enam tahun lepas meluahkan rasa syukur apabila beban kos pos yang ditanggungnya selama ini akhirnya dimansuhkan sepenuhnya oleh kerajaan.
Seorang lagi pengguna platform berkenaan, Yi Wern (@yiwern) turut melahirkan rasa teruja kerana kemudahan itu membolehkan pesakit rawatan jangka panjang menerima bekalan terus di rumah menerusi Pos Laju tanpa perlu hadir secara fizikal ke fasiliti kesihatan kerajaan.
Acu Dean (@poporify) pula mengajak pesakit mendapatkan maklumat lanjut di kaunter farmasi hospital atau klinik kesihatan masing-masing dan mendaftar bagi perkhidmatan UMP secara percuma supaya bekalan ubat dapat dihantar terus ke rumah.
Bagaimanapun, dia mencadangkan kerajaan mempertimbangkan penambahbaikan dari segi kelayakan penerima, dengan memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah, termasuk kumpulan M40 dan ke bawah.
Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperuntukkan dana kira-kira RM5 juta bagi menaja sepenuhnya kos penghantaran ubat melalui pos kepada pesakit yang layak di bawah seliaan Kementerian Kesihatan (KKM) bermula 1 Okt lepas.
Susulan pelaksanaan inisiatif tersebut, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menasihati orang ramai khususnya warga emas, agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pihak yang cuba mengenakan bayaran atau menawarkan perkhidmatan pendaftaran UMP melalui saluran tidak rasmi.
Beliau mengingatkan urusan pendaftaran program itu hanya boleh dibuat secara terus di kaunter fasiliti KKM tanpa sebarang caj pendaftaran dikenakan.
Perkhidmatan UMP yang diperkenalkan sejak 2011 sebelum ini mengenakan kos penghantaran RM5.70 bagi kawasan Semenanjung serta RM12.50 di Sabah dan Sarawak.
Inisiatif percuma berskala nasional itu dijangka memberi manfaat terus kepada kira-kira 80,000 pesakit pada setiap bulan, sekali gus meredakan isu kesesakan pesakit di kaunter farmasi hospital dan klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara.
-- BERNAMA