Am 15/10/2026 12:03 PM

Ahmad Zahid Mengadakan Kunjungan Hormat Kepada Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ahmad Zahid Mengadakan Kunjungan Hormat Kepada Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang

Daripada Mohd Yusof Saari

BEIJING, 15 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan kunjungan hormat kepada rakan sejawatannya dari China Ding Xuexiang di Dewan Besar Rakyat di sini.

Dalam pertemuan yang bermula pada 10.15 pagi itu, kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan dua hala selama kira-kira 30 minit dengan memberi tumpuan, antara lain usaha memperkukuh kerjasama sedia ada serta meneroka bidang kerjasama baharu dalam pelbagai sektor, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Perbincangan turut meliputi kerjasama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), merangkumi bidang infrastruktur, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, telekomunikasi, perdagangan, tenaga boleh baharu serta sains dan teknologi.

Ahmad Zahid turut mendapatkan maklum balas berhubung beberapa perkara yang dibincangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatan dari China, Li Qiang semasa lawatan kerja Anwar ke negara Tembok Besar itu pada 22 hingga 24 Sept lepas.

Kedua-dua pihak turut mencapai persefahaman dalam usaha memelihara keamanan dan kestabilan serantau menerusi kerangka ASEAN-China, selain menangani isu global yang menjadi kepentingan bersama.

Ini merupakan lawatan ketiga Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, ke China sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022.

Lawatan kerja lima hari yang bermula Isnin lepas itu akan diteruskan dengan Ahmad Zahid selaku Pengerusi Jawatakuasa TVET Negara, dijadual menyampaikan ucaptama di Persidangan Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Sedunia (WVTEDC) 2026 di Tianjin  esok. 

-- BERNAMA