PASIR MAS, 15 Okt (Bernama) -- Penduduk di daerah Pasir Mas kini meletakkan harapan tinggi terhadap pelaksanaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2 bagi mengurangkan risiko banjir berulang yang menjejaskan kehidupan, harta benda dan tanaman mereka.
Projek yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat lepas diharap dapat memperkukuh usaha menangani masalah itu, khususnya di sekitar Rantau Panjang yang sering terjejas akibat limpahan Sungai Golok.
Penduduk Kampung Tersang di Rantau Panjang Mohd Irwan Faizal Che Rojiun, 40, berkata pengumuman itu memberi harapan baharu kepada masyarakat setempat untuk melihat masalah banjir yang berulang di kawasan berisiko ditangani dengan lebih berkesan.
“Saya harap projek Sungai Golok Fasa 2 ini dapat disiapkan dengan segera, terutama memandangkan kami sudah menghampiri musim banjir,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sementara itu, bekas Penghulu Mukim Lubok Gong Mohd Ariffin Ismail, 64, berkata komitmen Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan bagi menangani masalah banjir di Kelantan amat dihargai, namun pelaksanaan projek itu perlu dipastikan tidak tertangguh.
Beliau berkata perancangan projek perlu mengambil kira masalah yang dihadapi penduduk di lapangan, termasuk benteng pecah dan keperluan pembinaan pembentung bagi memastikan aliran air banjir lebih lancar.
Menurut Mohd Ariffin, penyelesaian terhadap masalah banjir termenung juga perlu diberi perhatian kerana air yang bertakung dan mengambil masa lama untuk surut turut menjejaskan pergerakan penduduk, tanaman serta aktiviti harian mereka.
“Saya berharap masalah banjir dari Kampung Lachang hingga Lubok Jong dapat diselesaikan menerusi projek ini. Kontraktor perlu mencari kaedah yang sesuai untuk mengalirkan air banjir supaya masalah banjir termenung tidak lagi berulang.
“Projek ini mesti dilaksanakan dengan baik agar benar-benar memberi manfaat kepada penduduk, termasuk memastikan jalan perhubungan tidak terputus dan tanaman tidak terjejas,” katanya.
Dalam Belanjawan 2027, Anwar mengumumkan PLSB Sungai Golok Fasa 2 di Kelantan sebagai antara projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang akan dilaksanakan pada 2027.
Projek itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan memperkukuh sistem tebatan banjir di kawasan lembangan Sungai Golok yang sering terjejas akibat limpahan sungai ketika musim tengkujuh.
-- BERNAMA