Am 14/10/2026 09:14 PM

UTeM Ucap Takziah Pelajar Maut Dalam Kemalangan Di Melaka

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
UTeM Ucap Takziah Pelajar Maut Dalam Kemalangan Di Melaka
Kredit: Universiti Teknikal Malaysia Melaka - UTeM

MELAKA, 14 Okt (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajarnya, iaitu Nurul Fatehah Alya Kamaruaf’fandi yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Ayer Keroh, semalam.

Kenyataan UTeM memaklumkan kemalangan itu berlaku ketika Nurul Fatehah Alya dalam perjalanan pulang selepas menziarahi kubur ibunya di Kuala Selangor.

“Allahyarham ialah pelajar Tahun Dua Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer) dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

“UTeM turut mendoakan agar bapa dan keluarga Allahyarham diberi ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi kehilangan itu,” menurut kenyataan itu.

Menurut UTeM, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) turut membantu menguruskan jenazah Nurul Fatehah Alya sehingga disemadikan di Bagan Datuk, Perak kira-kira 4.30 petang tadi.

Pada masa sama, UTeM turut menyampaikan sumbangan khairat kematian berjumlah RM2,000 kepada bapa Allahyarham.

“Pihak universiti juga akan membantu keluarga Allahyarham menguruskan tuntutan insurans kelompok pelajar berjumlah RM21,500 serta khairat kematian Yayasan Perkasa Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi sebanyak RM2,000 selain menyelesaikan urusan pentadbiran dan akademik Allahyarham,” menurut UTeM.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata kemalangan membabitkan Nurul Fatehah Alya berlaku kira-kira 6 petang di Kilometer 211.4 PLUS arah selatan.

“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang wanita berusia 20 tahun itu dalam perjalanan dari Banting, Selangor menuju ke UTeM sebelum dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan di sebelah kiri menyebabkan dia tercampak ke kawasan lorong kecemasan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan saksi diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Lina Ervinna Ahmad di talian 011-5949 4816 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA