Am 14/10/2026 05:18 PM

Kandungan Kreatif Perlu Seiring Perlindungan Kanak-kanak Dalam Talian - Fahmi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kandungan Kreatif Perlu Seiring Perlindungan Kanak-kanak Dalam Talian - Fahmi

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Penghasilan kandungan kreatif dalam platform digital perlu diseimbangkan dengan usaha melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual dalam talian.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata usaha itu perlu dilaksanakan seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh ekonomi kreatif negara menerusi penghasilan kandungan digital yang berkualiti dan bertanggungjawab.

“Kita nak menggalakkan penghasilan kandungan kreatif termasuk dalam platform seperti YouTube. Namun, cabaran kita adalah untuk memastikan aspek-aspek jenayah seperti jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pengantunan kanak-kanak ini tidak berlaku.

“Yang menjadi keutamaan adalah mengelakkan anak-anak daripada menggunakan platform untuk bercakap dengan orang dewasa yang berkemungkinan memangsakan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Creators for Impact 2026 di sini hari ini.

Fahmi berkata Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia terus menggalakkan penghasilan kandungan kreatif termasuk menerusi platform digital sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekonomi kreatif negara.

Beliau berkata Majlis Ekonomi Jingga yang dibentuk untuk mengurus dasar dan meneliti program berkaitan ekonomi kreatif turut menyokong usaha memperkasa sektor berkenaan.

Mengulas program Creators for Impact 2026 anjuran Google, Fahmi berkata inisiatif berkenaan memberi pendedahan kepada pencipta kandungan mengenai teknik menghasilkan kandungan yang relevan, selain menyampaikan mesej keselamatan dalam talian kepada penonton.

Terdahulu, dalam ucapannya pada program itu, Fahmi berkata pencipta kandungan boleh memainkan peranan lebih besar dalam memupuk penggunaan Internet secara bertanggungjawab dalam kalangan golongan muda menerusi kandungan yang menarik dan relevan.

Beliau berkata kerjasama lebih erat antara kerajaan, syarikat teknologi dan pencipta kandungan penting bagi memastikan mesej keselamatan digital dapat disampaikan dengan berkesan kepada golongan berkenaan.

-- BERNAMA